Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Apabila buluh sudah ditanam di ladang, ia perlu diurus dengan wajar. Pengurusan ini merangkumi pelbagai aspek. Buat permulaan, pokok buluh yang mati perlu disulam. Amnya 90% buluh yang ditanam akan hidup, maka itu anak benih yang ditempah hendaklah ditambah 10% bagi tujuan menyulam.
Keduanya rumpai yang tumbuh di keliling rumpun buluh di peringkat awal hendaklah dibersihkan. Ini bagi mengelakkan persaingan nutrien dan air dengan buluh. Bagi rumpun buluh yang sedang membesar, amnya sebanyak 10 lebih batang buluh akan didapati dan mereka ini mempunyai daun yang akan luruh dan menutupi permukaan tanah. Kejadian ini akan menghalang pertumbuhan rumpai.
Seterusnya, kawasan buluh perlu dipagari atau dihindari daripada kemasukan haiwan seperti lembu, kambing dan kerbau kerana binatang ini akan makan rebung buluh sehingga kuantiti buluh berkurangan.
Keempat, buluh yang membesar sehingga ketinggian 6 – 8 m perlu dipangkas dahannya yang tumbuh di batang buluh. Ini bagi mengurangkan kesukaran untuk mengutip buluh di peringkat penuaian.
Kelima, rumpun buluh berumur 1 – 2 tahun hendaklah disungkupi dengan bahan seperti rumput, daun kering, tanah dan tanah gambut. Tujuannya ialah memelihara kelembapan tanah permukaan agar buluh tidak mati kekeringan. Apatah lagi daun kering yang disungkupi akan reput dan menjadi baja organik bagi membantu pertumbuhan rebung dengan lebih cepat.
Keenam, biasanya sebanyak 2% buluh akan rosak dalam setiap rumpun buluh akibat tiupan angin, serangan perosak dan sebagainya. Buluh yang rosak atau condong hendaklah ditebang dan dibersihkan supaya buluh yang sihat tidak dijangkiti penyakit di samping meningkatkan kadar pengudaraan dalam rumpun.
Akhirnya, dari segi pembajaan, rumpun buluh harus dibajakan sebanyak 2 kali setahun, kali pertama pada buluh berumur sebulan selepas ditanam dan 6 bulan selepas itu disusuli dengan pembajaan kali kedua. Baja yang digunakan termasuk baja organik yang terdiri daripada tinja haiwan seperti lembu, ayam, kambing atau POME yang diperolehi daripada kilang sawit. Bagi baja kimia, rumusan 15/15/15 adalah pilihan yang baik bagi mendapat tumbesaran pokok yang seragam.
Pembajaan boleh dijalankan secara taburan, sistem poket atau sistem parit. Kaedah menabur baja ialah di dalam dan di sekeliling rumpun buluh sama ada menggunakan baja organik atau kimia. Elakkan taburan baja kimia ke atas rebung buluh atau terlalu dekat dengan batang pokok buluh muda di peringkat umur 1 – 3 bulan selepas ditanam. Ini bagi mengelakkan rebung mati akibat kelecuran.
Sistem pembajaan poket memerlukan penggalian lubang berjarak 25 – 30cm di antara satu sama lain di sekeliling rumpun buluh. Lubang digali sedalam 4 – 5 cm dan baja dimasukkan ke dalam dengan sama rata. Umpamanya, bagi taburan baja 2kg, maka jumlah baja ini dibahagi sama rata bagi memenuhi lubang-lubang yang digali.
Sistem pembajaan parit dilakukan dengan menggali parit di sekeliling silara rumpun buluh. Kesemua parit hendaklah ditutup selepas diisi baja.
Sebagai kesimpulan, melalui kaedah pengurusan seperti tertera di atas, rumpun buluh dijangka akan tumbuh dengan baik dan memberi hasil setimpal dengan usaha yang dicurahkan.
Sumber maklumat :
Dr. Azmy Hj. Mohamed, Penanaman Buluh Komersial Di Malaysia, MTIB, 2015, hal. 41-45.
Agroharta Fertilizer Sdn Bhd
Tel : 603-3341 2288
Fax : 603-3341 8219
E-mail : admin@agroharta.com.my