You are currently viewing Tanaman Petai Berpotensi ?

Tanaman Petai Berpotensi ?

Petai (Parkia speciosa) dari famili Fabaceae adalah tumbuhan yang ketinggiannya di antara 5 – 25m. Buah petai bersifat leper panjang dan mengandungi 10 – 18 biji buah di dalamnya. Ketika matang, biji buah berwarna hijau muda dan merupakan makanan ulam-ulaman yang digemari oleh pelbagai kaum khususnya kaum Melayu.

Petai sesuai ditanamkan di kawasan beriklim panas dan lembap sama ada di tanah rendah ataupun di kawasan setinggi 1500m dari aras laut. Tanah yang baik salirannya, peroi dan beralun sedikit menjadi medium terbaik untuk pertumbuhannya. Di samping itu, tanah gembur, liat bepasir atau liat peroi juga sesuai.

Biji benih petai tua digunakan sebagai bahan tanaman untuk penanaman. Sebagai permulaan, 3-4 biji benih disemaikan ke dalam polibeg berukuran 15 x 25cm kemudian mengekalkan anak benih terbaik, anak benih selebihnya disingkirkan. Anak benih terpilih ini dididik di bawah naungan daripada cahaya matahari terik. Naungan ini kemudian dikurangkan secara berperingkat sehingga ia dipindah tanam di ladang. Umur anak benih yang sesuai untuk dipindah tanam adalah semasa ketinggian pokok mencapai 15 – 20cm.

Anak pokok petai ditanam di ladang pada jarak 10 x 15m ataupun 15 x 15m empat segi sama. Lubang tanaman sebesar 30 x 30 x 30cm sudah memadai untuk tujuan ini. Bagi kawasan yang kurang subur, jarak tanaman boleh dirapatkan. Pada hakikat, jarak tanaman boleh dipilih mengikut keadaan tanah serta faktor setempat masing-masing. Lubang tanaman dimasukkan dengan bahan organik seperti tahi lembu dan rock phosphate bagi memupuk pengakaran dan kesuburan anak pokok.


Pembajaan

Bagi memupuk tumbesaran pokok, baja sebatian NPK seperti 15:15:6:4 adalah disyorkan. Ia bermula dengan kadar 0.5 – 3.0 kg/pokok/tahun dipecahkan kepada 4 pusingan/tahun (antara tahun 1-5).

Dari segi pemupukan buah, baja 12:12:17:2 adalah disyorkan dan digunakan mula tahun keenam atau lebih awal pada kadar 6 – 9 kg/pokok/tahun dipecahkan kepada 4 pusingan setahun.

Selain daripada menggunakan baja sebatian, baja organik seperti tahi lembu, tahi kambing atau tahi ayam juga sesuai digunakan. Baja organik akan menambahkan kualiti buah petai dari segi rasanya. Baja ini digunakan secara melonggok kira-kira 0.6 – 0.9m dari pangkal pokok dengan kadar 4 pungkis sepokok pada setiap 6 bulan. Baja-baja ini lebih sesuai diletakkan secara longgok daripada tabur serak supaya dapat mengelakkannya menjadi kering dan kurang kesan nanti.

Dari segi kawalan perosak, ulat pengorek buah yang biasa menyerang pokok di peringkat tumbesaran boleh dikawal dengan semburan racun seperti Trichlorphon atau Gamma BHC 0.1% bahan aktif sekiranya serangan adalah teruk.

Buah matang petai menggunakan kacip dikutip dengan bergalah dan memotongnya di bahagian tangkai kemudian diikat pada tangkainya untuk dipasarkan. Musim pembuahan petai biasanya di antara bulan Ogos Januari pada setiap tahun. Walau bagaimanapun, ia juga boleh mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Potensi

Pokok petai boleh mengeluarkan hasil selepas 3 – 4 tahun lepas ditanam. Namun begitu, tempoh pengeluaran hasil adalah bergantung kepada spesis. Pada hakikat, tumbuhan yang banyak terdapat di negara-negara Asia Tenggara ini mempunyai banyak spesis. Dalam konteks Malaysia, spesis petai yang lebih banyak ditanam terdiri daripada Parkia speciosa dan Parkia timoriana. Kedua-dua spesis ini lebih bermutu dengan pengeluaran hasil yang lebih banyak serta juga lebih cepat.

Setakat ini, Malaysia dianggarkan mempunyai keluasan tanaman petai dalam lingkungan 100 hektar. Kebanyakannya diusahakan di negeri- negeri Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Menurut sumber, pokok petai mencapai kestabilan pengeluaran hasil antara tahun 15 – 25 lepas tanam dengan keluaran 1,000-1,1100 papan buah/pokok/tahun. Sekali lagi, penghasilan ini adalah bergantung pada keadaan agro-iklim dan spesis pokok.

Buat masa ini, petai memperolehi harga pasaran yang baik dan kukuh. Harga runcit bagi sepapan buah petai lebih kurang Rm1.00. Bahkan, hasil dari spesis mata besar dan panjang malah mendapat harga RM3.00 atau lebih setiap papan. Di negara pengeluar lain seperti Indonesia, biji petai yang siap dikopek telah dieksport ke negara-negara Asia Barat khususnya dengan harga RM20/kg.

Dari sudut pandangan ini, petai menunjukkan potensi komersial yang baik. Penggemar petai yang ramai di seluruh negara adalah tulang belakang yang kukuh baginya dari segi penggunaan kerana kandungan khasiat A, C dan zat galian yang tinggi di dalamnya serta memberi rasa yang unik sekali baik digunakan sebagai ulam-ualaman atau dijadikan sebagai petai sambal bilis setelah ditumis.


Setakat ini, petai masih banyak dikutip dari hutan oleh pemungut petai yang merisikokan keselamatan diri dengan memanjat pokok petai yang tinggi untuk memetik buahnya. Dalam keadaan ini, petai ditanam akan disaingi oleh petai hutan pada suatu hari nanti, seperti persaingan yang wujud di antara tongkat ali ditanam dengan tongkat ali hutan sehingga merendahkan potensi penanamannya.

Namun begitu, pokok petai ditanam adalah lebih rendah daripada pokok petai hutan melalui kaedah kawalan ketinggian dengan cara mencantas serta pembiakan cantuman bagi menghasilkan baka yang lebih rendah serta dengan pengeluaran hasil yang lebih tinggi dan lebih awal.

Hantar blog ini kepada :