Pada 18 Sept 2025, Persatuan Tapak Semaian Sawit Malaysia (MOPNA) telah mengadakan satu lawatan kerja ke SD Guthrie Seeds & Agricultural Services Sdn Bhd (SDGSASSB)Â di Banting, Selangor.
Tujuan utama lawatan ini ialah melihat perkembangan terkini syarikat tersebut dalam pengeluaran biji benih sawit. Rombongan MOPNA kali ini terdiri daripada AJK Persatuan yang diketuai oleh Presiden MPONA Tuan Haji Mohd Damanhuri Bin Mohd Jamli dan Timbalan Presiden Encik Tan Kim Tun.

Semua hadirin disambut meriah oleh Encik Jason Yeo iaitu Pengurus Bahagian Penjualan Dan Pemasaran SDGSASSB, Dr. Sukganah Apparow (Ketua Bahagian Operasi Biji Benih Sawit), Encik Hafizul (Ketua Bahagian Pengeluaran Biji Benih Sawit), Encik Mohd Faiz Dusuki (Penolong Timbalan Presiden II Bahagian Penjualan Dan Pemasaran SDGSASSB) serta rakan sekerja lain.
Jason Yeo memberi kata aluan. Dr. Sukganah kemudian memberi taklimat mengenai perkembangan terkini SDGSASSB dalam pembekalan biji benih sawit tulen dan berkualiti tinggi kepada industri sawit dalam negara serta pasaran eksport khususnya ke Indonesia, Thailand dan Afrika.

SDGSASSB, seperti sedia maklum, ialah syarikat ulung di Malaysia dalam industri pembekalan biji benih sawit dengan jenama GH500, Calix600, CalixQ6 dan GenomeSelect. CalixQ6 dikembangkan dari Calix600 dan dikomersialkan pada Disember 2019, merupakan biji benih sawit sah diuji secara genetik bagi menyingkir pencemaran dura yang amnya menjejaskan pengeluaran hasil buah tandan serta kandungan minyak sawit.
Menurut sumber, CalixQ6 memperolehi hasil sawit sebanyak 29.25 tan/ha/tahun pada tahun ke-7 selepas ditanam. Hasil tersebut malah meningkat ke aras antara 37.81 – 40.32 tan/ha/tahun seperti diperolehi di Dusun Durian SDGSASSB antara tahun ke-7 hingga tahun ke-10 selepas ditanam.

Sama menarik ialah jenama GenomeSelect, ia merupakan biji benih sawit terkini SDGSASSB yang telah memenangi Anugerah Edison (Edison Award – Energy & Sustainability Category) pada tahun 2017. Bahan tanaman ini mencatatkan pengeluaran hasil tahun 2016 sebanyak 37.3 tan/ha/tahun pada tahun ke-5 selepas ditanam. Dari segi hasilan minyak (O/B) pula, GenomeSelect mencatatkan antara 25% – 31% pada tahun 2018 ke atas semua jenis tanah yang ditanam.
Secara keseluruhan, CalixQ6 dan GenomeSelect telah mendapat manfaat besar dari teknologi gentik SDGSASSB yang menjamin ketulenan bahan tanaman sehingga melebihi 99%!
Dalam lawatan itu, proses pengeluaran biji benih sawit SDGSASSB dipamer dan disyorkan serentak oleh Encik Hafizul dan rakan sekerja untuk penelitian para hadirin termasuk lawatan ke pusat rawatan, pemilihan dan pembungkusan biji benih sebelum dihantar ke tangan pelanggan. Dapat dilihat bahawa kawalan kualiti telah dipatuhi dengan ketat oleh semua pekerja di situ. Tapak semaian sawit SDGSASSB juga dikunjungi berikutnya. Tapak semaian tersebut dipenuhi dengan anak-anak benih sawit kecil dari pelbagai jenama, tumbuh subur dan menghijau memperlihatkan kualitinya yang tinggi. Â

Sesi Q & A juga diadakan sebelum jamuan makan tengahari pada 1.00PM. Lawatan ini diyakini memberi manfaat besar kepada semua hadirin untuk memahami bahan tanaman SDGSASSB secara dekat. Bahan tanaman berpotensi tinggi ini sudah serta bakal diperkenalkan kepada pekebun dan peladang sawit di seluruh negara agar produktiviti sawit mereka dibawa ke taraf baru.
