Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia. Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Di era pertanian pintar, kenapa kita masih terkurung dalam zaman cangkul dan kudrat?
Malaysia ialah negara yang dikurniakan tanah subur dan hujan yang mencukupi. Namun, sehingga ke hari ini, majoriti petani kita masih bertungkus-lumus menggunakan cangkul, pam galas, dan kudrat empat kerat. Ketika dunia sudah mula mengguna pakai robot dan teknologi pintar dalam pertanian, ladang kita masih lagi bergantung kepada cara manual yang ketinggalan zaman.
Apa masalah sebenar? Adakah petani kita menolak teknologi? Atau adakah sistem yang sedia ada yang menghalang kemajuan?
Mari kita teliti kenapa “traktor Malaysia tak cukup laju” untuk membawa kita ke era pertanian moden.
Tiga Halangan Utama Mekanisasi Pertanian
1. Tak Mampu Beli: Kos Mahal, Bantuan Lambat, Pembiayaan Sukar
Mesin asas seperti traktor moden boleh mencecah RM80,000 ke atas. Itu belum termasuk peralatan tambahan seperti bajak, penyembur racun automatik atau penanam benih. Teknologi lebih canggih seperti dron pertanian, sistem pemantauan pintar atau robot ladang pula boleh menelan belanja ratusan ribu ringgit.
Kebanyakan petani di Malaysia beroperasi pada skala kecil atau sederhana, modal mereka terbatas dan pinjaman sukar diperoleh. Walaupun terdapat program subsidi kerajaan, proses kelulusannya perlahan, birokrasi pula rumit. Bila mesin sampai, musim tanam pun sudah berlalu.
2. Tak Sesuai Guna: Tanah Terlalu Kecil, Terlalu Cerun, Tanaman Terlalu Pelbagai
Tanah pertanian di Malaysia, khasnya di Semenanjung, banyak bersaiz kecil dan berpecah-pecah. Ada yang kurang 5 ekar, malah ada yang berselerak di lereng bukit atau kawasan tidak rata. Mesin besar seperti traktor konvensional sukar beroperasi di sini.
Tambahan pula, petani Malaysia menanam pelbagai jenis tanaman dalam satu kawasan – contoh, satu lot ada pisang, cili dan nenas serentak. Ini menyukarkan penggunaan mesin secara standard dan efisien. Berbeza dengan negara seperti Thailand atau Vietnam, mereka mengamalkan tanaman tunggal berskala besar seperti padi atau jagung, yang mudah dimekanisasi.
3. Tak Tahu Guna: Kekurangan Latihan, Tiada Juruteknik, Sukar Baiki
Kalau pun petani mampu beli mesin, ramai yang tak tahu cara guna dengan betul, apatah lagi untuk jaga atau baiki. Pusat servis mesin pertanian di luar bandar sangat terhad, alat ganti sukar didapati. Bila mesin rosak, perlu tunggu berminggu untuk dibaiki – ini sangat merugikan masa dan hasil.
Di samping itu, kursus pertanian yang ditawarkan banyak menumpukan pada teori dan kurang latihan praktikal. Petani muda juga kurang terdedah kepada teknologi pertanian semasa. Tanpa kemahiran teknikal, teknologi mahal akan terbiar atau rosak begitu sahaja.
Kita Terkandas di Tengah Jalan: Antara Pertanian Tradisional dan Pintar
Di negara maju seperti Jepun, AS, dan bahkan China, pertanian pintar sudah pun berjalan – dron menyembur racun secara automatik, sensor memantau kelembapan tanah, dan traktor tanpa pemandu mengurus ladang. Tapi di Malaysia? Kita masih sibuk cari buruh asing untuk cabut rumput dan siram air.
Memang ada syarikat besar di sektor kelapa sawit yang sudah gunakan dron dan sensor – Sime Darby, FGV misalnya – tapi teknologi ini hanya berada di peringkat korporat. Petani kecil tidak mampu atau tidak dapat akses kepada kemudahan ini.
FGV Fertiliser Sdn Bhd
Lot 115, Johor Port Authority Area, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia. Tel : +607-251 2801/2802/2803
Fax : +607-251 1810
E-mail : fertmarketing@fgvholdings.com
Website: www.fgvfertiliser.com.my
Teknologi tak salah. Tapi cara kita melaksanakannya yang terlalu “atas ke bawah”, tidak sesuai untuk realiti di lapangan.
Mekanisasi Bukan Beban Petani Semata-mata
Kalau kita mahu bergerak ke arah pertanian moden, kita perlu faham: mekanisasi bukan sekadar beli mesin. Ia memerlukan perubahan sistem secara menyeluruh. Berikut ialah beberapa cadangan realistik yang boleh dilaksanakan :
1. Kongsikan Mesin Secara Kolektif
Wujudkan pusat perkhidmatan mesin ladang di peringkat kampung atau daerah. Semua petani boleh sewa mesin mengikut waktu dan keperluan. Ini akan menjimatkan kos, meningkatkan penggunaan, dan memudahkan penyelenggaraan. Model koperasi atau komuniti pertanian boleh mengurus operasi ini.
2. Latih Generasi Baru “Mekanik Pertanian”
Kerajaan perlu wujudkan program latihan teknikal khusus dalam bidang pengendalian dan penyelenggaraan mesin ladang. Gandingan institusi TVET dan agensi pertanian tempatan boleh membentuk generasi baru yang mahir dan berminat dengan bidang ini. Biar anak muda kampung jadi jurutera pertanian kita sendiri.
3. Bangunkan Mesin Keluaran Tempatan
Buat masa ini, kebanyakan mesin pertanian diimport dari Jepun, India atau China. Harganya tinggi, alat ganti susah dapat. Kenapa tidak galakkan usahawan tempatan dan universiti untuk hasilkan mesin yang lebih kecil, lebih murah, dan sesuai dengan keadaan ladang Malaysia – misalnya mini traktor untuk kawasan sempit atau penyembur racun automatik untuk tanaman berderet?
4. Gunakan Model “Sewa + Aplikasi”
Cipta sistem sewaan mesin pertanian yang boleh ditempah melalui aplikasi telefon pintar. Contohnya, petani hanya perlu log masuk, pilih mesin, dan tempah operator – macam Grab, tapi untuk pertanian. Ini sudah wujud di India, tak mustahil boleh dibuat di sini.
Penutup: Kami Tak Minta Robot Terbang, Cukup Traktor Yang Tak Rosak
Petani Malaysia tidak anti-teknologi. Mereka hanya mahu solusi yang boleh dipakai, boleh dibaiki, dan boleh dipercayai. Mereka tidak perlukan janji-janji mega atau poster teknologi yang gah. Mereka cuma mahu musim tanam dapat disiapkan tepat pada waktunya.
Masa depan pertanian kita tak terletak di awan atau pangkalan data, tetapi di batas dan bendang. Kalau kita benar-benar mahu bantu petani, mulakan dengan mempermudahkan akses kepada teknologi yang praktikal dan mampu milik.
Sudah tiba masanya kerajaan, agensi pertanian dan pemain industri bekerjasama menghapuskan jurang antara ladang dan teknologi.
Jangan biar petani kita terus bekerja dengan traktor rosak, sementara dunia lain sudah tanam sayur dengan AI.
Sumber : Platform Profesional
Nota : Untuk Rujukan Sahaja










