Malaysia dan Indonesia menghasilkan 85% minyak sawit sedunia dan menampung keperluan global sehingga 94%. Dari tahun 1985 – 2008, Minyak sawit meningkat lebih 300%. Peningkatan ini datang dari peluasan kawasan penanaman walhal penghasilan minyak sawit seunit kawasan tidak meningkat. Masalah ini perlu dikaji termasuk kesesuaian tanah penanaman serta pembajaan sama ada mencukupi atau tidak.
Lebih 43% tanah di Malaysia berasal dari siri Ultisols dan Oxisols, kedua-dua jenis tanah ini amnya rendah kandungan nutrien serta lebih masam. Selain nutrien surih tidak mencukupi, unsur sulfur (S) juga salah satu daripadanya.
Unsur sulfur penting untuk tanaman pengeluar minyak sayuran. Kepentingannya serupa dengan fosforus, magnesium dan kalsium terhadap tanaman sawit. Pengusaha tanaman kerap mengenepikan unsur sulfur dalam pembajaan mereka, beserta pengangkutan keluar melalui buah tandan segar dan kadar larut resap dalam tanah khasnya di kawasan berpasir dan bertaburan hujan tinggi, akhirnya menyebabkan keadaan kekurangan nutrien ini telah berlaku.
Selain itu, sumber N dalam bentuk urea sudah digunakan sekian lama. Masalah mula bangkit kerana nisbah N dan sulfur sudah hilang keseimbangan dan mengakibatkan pembentukaan protein dan minyak dalam tanaman sawit terganggu. Kedua-dua unsur ini penting terhadap pembentukan minyak dalam sawit. Jika N dibekal mencukupi tetapi unsur sulfur tidak cukup, masalah pembentukan protein dan minyak tetap akan berlaku.
Pada hakikat, sulfur adalah unsur yang lumrah di alam semesta. Udara dan tanah banyak tersedia dengan unsur ini. Sulfur dalam tanah biasanya wujud dalam bentuk organik dan ia perlu dirungkai oleh mikrob tanah sebelum boleh diambil oleh tanaman. Proses ini berlaku dengan lambat dan keadaan ini mungkin akan menyebabkan kekurangan berlaku di dalam tanah.
Tambahan keperluan sawit sebagai tanaman pengeluar minyak sayuran amat besar, justeru jika tiada penambahan unsur ini ke dalam tanah, pasti masalah kekurangan akan wujud. Kebiasaan satu hektar sawit akan mengangkut keluar 15-25kg sulfur. Walaupun kepentingannya sama seperti fosforus, tetapi bagi tanaman pengeluar minyak sayuran, peranan sulfur lebih berat lagi. Jika tidak diperhatikan, kualiti minyak mungkin akan terjejas sekiranya bekalan sulfur tidak mencukupi.
Salah satu faktor kekurangan sulfur dalam tanah juga disebabkan oleh baja sebatian kini yang kurang mengandungi sulfur, atau penggunaan bahan tanaman berhasil tinggi, penggunaan racun rumpai dan racun kulat yang rendah mengandungi sulfur serta pembebasan gas industri yang lebih rendah, sekali gus mengurangkan kuantiti sulfur dalam tanah.
Peranan sulfur terhadap tanaman sawit bukan sahaja dari segi pembentukan protein dan minyak, malahan ia juga membantu dalam proses metabolisme, meningkatkan pembentukan klorofil serta kadar fotosintesis di samping mengaktifkan pelbagai hormon dalam tanaman sawit. Sulfur juga dikatakan dapat meningkatkan daya rintangan tanaman terhadap perosak dan penyakit tanaman.
Jika dibandingkan peranannya dengan tanaman bijian, didapati permintaan sulfur oleh tanaman pengeluar minyak sayuran lebih tinggi sebanyak 3 kali ganda. Umpamanya pengeluaran satu tan minyak memerlukan 12kg sulfur. Begitu juga penaburan 1kg sulfur mampu menghasilkan 3.0 – 5.0kg minyak. Hal ini adalah disebabkan oleh agihan sulfur ini telah meningkatkan pengeluaran jirim tanaman melalui proses fotosintesis.
Tanaman pengeluar minyak bukan sahaja datang dari sawit, malahan tanaman sesawi, bunga matahari, bijian dan kacang soya juga di antaranya. Menurut sumber, 60kg/ha sulfur meningkatkan hasil pengeluaran sesawi 34% dan hasilan minyak 13%. Bunga matahari dengan dos yang sama meningkatkan 45% hasil pengeluaran dan 7% hasilan minyak. Biji pula masing-masing meningkat 42% dan 34% manakala kacang soya meningkat 24% dan 5% selepas penaburan sulfur 40kg/ha.
All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Bagi tanaman sawit, sulfur sangat penting dalam pembentukan rantaian panjang asid lemak serta meningkatkan penghasilan mesokarp dan minyak isirung sawit. Kadar kandungan optimum sulfur dalam sawit ialah di antara 0.20 0.23%. Parameter ini diperolehi daripada analisis daun ke-17. kebelakangan ini, ada laporan mengatakan aras sulfur dalam sawit telah menurun ke aras 0.12 -0.13%. Menurutnya, jika bacaan ini turun lebih rendah daripada 0.15%, maka sulfur perlu ditokok segera bagi mengelak daripada mengganggu hasil sawit.
Kawasan yang biasa menghadapi kekurangan sulfur ialah tempat yang terletak jauh dari kawasan perindustrian atau pesisir pantai. Gejala kekurangan awal menunjukkan tumbesaran daun terganggu serta berwarna lebih cetek. Dalam keadaan serius daun menunjukkan reputan bertompok serta meningkatkan jangkitan penyakit Cercospora. Penyakit ini lebih kerap berlaku di kawasan bersaliran kurang baik, kandungan bahan organik yang rendah serta sebelum itu adalah padang savana.
Di ladang sawit, kekurangan sulfur berpunca utama daripada pengangkutan keluar nutrien ini melalui buah tandan segar serta larut resap sulfate (S04-2). Sulfur boleh ditokok tambah melalui sungkupan buah tandan kosong sawit serta pelepah daunnya. Begitu juga penyiraman POME malah pembajaan dengan tinja haiwan jugalah akan meningkatkan kandungan sulfur dalam tanah.
20kg sulfur akan diangkut keluar melalui buah tandan segar. Justeru itu menyungkup tanah di ladang dengan buah tandan kosong sawit sedikit sebanyak dapat mengitar semula sisa unsur sulfur ke dalam tanah.
Cara peningkatan sulfur dalam tanah yang lebih baik ialah melalui pembajaan sama ada baja tunggal atau baja sebatian. Misalnya baja tunggal seperti ammonium sulphate, single super-phosphate (SSP) dan potassium sulphate sudah mengandungi unsur sulfur. Terdapat banyak rumusan baja sebatian di pasaran yang turut mengandungi unsur sulfur bermula dari beberapa peratus sehingga 25 peratus, kesemua ini dipercayai untuk memenuhi keperluan pembajaan pengusaha tanaman ke atas tanaman sawit mereka.
Jika tidak nampak sulfur tersenarai dalam rumusan baja, ini tidak bermakna tiada sulfur di dalam. Sesetengah syarikat menggunakan sumber NPK yang sudah mengandungi sulfur seperti SSP, ammonium sulphate dan potassium sulphate. Baja kieserite sebagai sumber Mg juga mengandungi sulfur. Jika rumusan baja menggunakan urea sebagai sumber N, CIRP sebagai sumber P dan dolomite sebagai sumber Mg, maka rumusan ini tidak mengandungi sulfur, dan perlu ditambah dengan baja lain yang mengandunginya.
Selain itu, 80% sumber sulfur adalah berdasar dari tinja haiwan. Penghasilan tinja haiwan tahunan sedunia dianggarkan 8 juta tan dan merupakan satu sumber sulfur yang boleh dieksploitasikan.
Sumber maklumat :
1. Sulphur, the long-neglected nutrient in oil palm cultivation, International Plant Institute.
2. Sulfur nutrition of oil palm for enhancing oil yield in tropics, Research Gate, 2015.
3. Kah-Joo Goh and Rolf Hardter, ‘General oil palm nutrition’, oil palm-management for large and sustainable yields, Thomas Fairhurst and Rolf Hardter (editors), PPIC & IPI, 2003.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd