Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Tanaman vanilla sesuai ditanam di Malaysia kerana keperluan cuaca tanaman ini di antara 25°C – 34°C sangat secocok dengan keadaan sekitaran di sini. Tambahan keperluan kelembapan udara yang tinggi, 60% lindungan pancaran matahari, pH tanah di antara 6.5 – 7.5 serta tanah yang mengandungi bahan organik tinggi semuanya boleh didapati di Malaysia. Namun begitu, pengusahaan tanaman vanilla di Malaysia masih belum berkembang dan wujud secara kecil-kecilan sahaja.
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kerja memproses buah vanilla yang agak mengambil masa serta pengurusan tanaman juga kelihatan agak melelahkan berbanding tanaman lain. Walaupun begitu, jika diberitahu buah vanilla yang sudah diproses boleh dijual dengan harga RM2,000/kg, maka dipercayai ramai akan tertarik oleh potensi tanaman ini.
Vanilla sejenis tanaman dari famili Orchidaceae atau orkid. Bagaimanapun, vanilla yang bernilai komersial hanyalah spesies Vanilla planifolia Andrews dan Vanilla tahitensis JW Moore yang mana spesies Vanilla planifolia paling popular serta paling luas ditanami di seluruh dunia.
Nilai komersial utama bagi tanaman vanilla ialah buahnya. Namun untuk mendapatkan buah, bunga tanaman ini perlu didebungakan secara manual atau berbantu baru boleh berbuah. Buah matang selepas dipetik perlu diproses mengikut atur cara tertentu supaya menghasilkan aroma yang harum. Aroma inilah yang menjadikan vanilla berharga kerana aroma buah vanilla mengandungi sejenis bahan dikenali sebagai vanillin yang mengeluarkan keharuman ini. Keharuman vanillin mempunyai permintaan yang tinggi serta mahal kerana ia boleh digunakan dalam pelbagai rumusan termasuk kuih-muih, makanan, minyak wangi, ais krim, bahan minuman serta apa jua sahaja yang memerlukan keharuman. Harga vanillin menduduk tempat kedua dalam senarai bahan keharuman yang paling mahal di dunia iaitu hanya selepas Saffron.
Pengurusan buah vanilla yang sudah dipetik daripada pokok mengambil masa serta menguji ketabahan hati. Buah yang diproses mengikut cara yang betul akan menghasilkan buah vanilla bermutu tinggi dan boleh dijual dengan harga yang mahal. Pada hakikat, kerja memproses buah vanilla tidak sesukar seperti yang difikirkan. Jika dapat mengikut atur caranya, maka pengeluaran hasil bermutu tinggi akan merealisasikan pulangan lumayan. Sebaliknya proses penanamannya perlu dipelajari dahulu agar pokok vanilla dapat tumbuh subur dan mengeluarkan hasil yang diidam-idamkan.
Dalam keadaan Malaysia, seorang penanam vanilla di Temerloh pernah menanam 600 pokok vanilla, selepas 6 tahun ditanam didapati tiada satu pokok pun yang mengeluarkan hasil buah. Atas budi baik seorang penanam dari Jerantut, Pahang yang berpengalaman mengingati beliau akan kewajiban menjalankan pendebungaan berbantu untuk tanaman ini. Bermula dari situ baru penanam ini berjaya mendapat hasil lumayan.
Seorang penanam lain yang menanam 2,000 pokok vanilla memperolehi anggaran 500kg buah vanilla segar, apabila dikeringkan di bawah matahari, berat buah kering menjadi 80kg. Jika satu kg buah vanilla kering ini dijual dengan harga RM2,000/kg, maka jumlah pendapatan beliau akan mencatatkan RM160,000 (RM2,000 x 80kg).
Hasil pengeluaran vanilla adalah mengikut umur pokok. Setiap pokok berumur 3 tahun secara puratanya akan mengeluarkan hasil buah 250g, 4 tahun mengeluarkan hasil buah 500g, 5 tahun 750g buah dan 6 – 15 tahun masing-masing mengeluarkan buah 1,000g. Jika satu ekar dinanam 2,000 pokok serta diandaikan pokok sudah berumur 6 tahun dan ke atas, maka setiap tahun akan mendapat hasil buah 2,000kg. Jika kadar tukaran buah kering kepada buah basah ialah 10%, maka keseluruhan akan mendapat 200kg buah kering kemudian dikalikan dengan RM2,000/kg, jumlah pendapatan ialah RM400,000. Jumlah hasil ini adalah 3 – 4 kali ganda hasil pendapatan tanaman durian.
Walaupun jumlah hasil ini hanya untuk rujukan am sahaja memandangkan kecekapan amalan agronomi para penanam adalah berbea-beza yang juga memberi hasil berlainan, tetapi ia tetap satu rujukan yang memberi memberi implikasi penting mengenai potensi yang ada dalam penanaman vanilla.
Proses buah vanilla mengambil masa sedikit serta kerja pendebungaan berbantu diperlukan, maka penanaman secara skala kecil boleh diusahakan. Ada peminat yang bertanya kenapa vanilla tidak boleh dijalankan secara skala besar, jawapannya ialah ia boleh juga ditanam secara besar-besaran selagi tenaga buruh adalah mencukupi. Pada hakikat, penanaman secara skala kecil umpamanya seekar dua sudah pun memberi pendapatan lumayan.
Tambahan vanilla boleh diusahakan secara tanaman tunggal ataupun tanaman selingan di bawah pokok kelapa atau pokok pinang dewasa. Jika ia dijalanakan secara tanaman selingan, maka penanam akan memperoleh dua pendapatan pada masa yang sama.
Vanilla dipercayai mempunyai 40 jenis kesemuanya tetapi hanya 2 – 3 jenis sahaja yang bernilai komersial. Negara penanam vanilla yang ulung di dunia ialah Madagascar, India, China, Papua New Guinea, Mexico dan Indonesia. Tanaman ini mula mengeluarkan hasil pada tahun penanaman ke-3. Hayat ekonomi pokok vanilla dijangka berada di antara 12 – 14 tahun.
Tanaman vanilla memerlukan naungan dari pancaran cahaya matahari. Oleh itu ia sering juga ditanam dalam struktur pelindung hujan. Menurut sumber, kultur vanilla juga boleh dijalankan secara hidroponik. Dalam struktur pelindung hujan, sistem pengairan serta kelengkapan semburan kabus hendaklah disediakan bagi meningkatkan kelembapan udara dan bekalan air. Air dan kelembapan udara yang mencukupi akan meningkatkan hasil pengeluaran buah.
Tanaman vanilla dibiak dengan keratan batang. Setiap keratan seelok-eloknya mempunyai 8 – 10 ruas. Satu lubang tanaman kemudian ditanam dengan 2 batang keratan yang disokong oleh kayu penyokong ataupun tiang berketinggian 7 kaki. Untuk memudahkan pendebungaan berbantu dijalankan, ketinggian tiang ditetapkan pada ketinggian seorang dewasa kira-kira 5.5 kaki. Tanaman vanilla akan mengeluarkan pucuk menjalar. Pucuk ini hendaklah dielakkan menyentuh permukaan tanah dan sebaliknya dililitkan pada tiang atau kayu penyokong. Sistem akar vanilla akan tumbuh dan melekatkan pada permukaan bahan penyokong tersebut.
Pucuk-pucuk lama hendaklah dipangkas selalu bagi menggalak pemucuckan baru selanjutnya pengeluaran hasil buah. Umumnya satu bulan sebelum berbunga, hujung pucuk dipangkas kemudian disiram air. Dengan cara ini bunga akan tumbuh dan mekar berturut-turut selama 3 minggu.
Oleh kerana bunga vanilla bukan penarik baik serangga bagi menjalankan pendebungaan, maka kerja ini terpaksa dijalankan oleh pena- nam atau pekerja ke atas setiap bunga betina yang berada di atas pokok pada sebelah pagi dan berhenti sebelum tengahari kerana bunga menjadi tidak bernas lagi selepas itu. Pendebungaan yang berjaya akan membentuk buah dalam masa 6 minggu kemudian mengambil 8 – 11 bulan lagi buah baru matang. Buah yang hampir matang masih mengekalkan warna kehijauan gelap tetapi di hujung buah sudah mula bertukar ke warna sedikit kuning cerah. 80 – 90 buah vanilla akan membentuk berat satu kg.
Cara menjalankan pendebungaan berbantu ialah ia bermula daripada 7 – 10 kuntum bunga lama di bahagian bawah. Setiap dahan men- jalar itu seelok-eloknya dikekalkan 7 – 10 kuntum bunga sahaja supaya memupuk buah yang lebih besar. Untuk memupuk pertumbuhan pokok, baja nitrogen dengan dos 75g diaplikasikan pada pokok kemudian diulang sekali lagi 1 – 2 bulan selepas itu. Jika hari tidak berhujan maka tanaman vanila hendaklah diberikan air sama ada secara pengairan renjisan ataupun titisan.
Daun vanilla juga menjadi perumah kepada sebilangan perosak serangga yang akan merosakkan daun melalui makan daunnya atau menghisap cecair daun. Akarnya juga akan diserangi ulat akar. Kawalan dengan racun serangga boleh memberi kesan selain juga cara menabur dengan baja organik untuk menguatkan pokok. Penyakit pula melibatkan akar, batang pokok, buah serta pucuk baru. Kesemua ini disebabkan oleh jangkitan kulat yang boleh dikawal dengan racun kulat.
Di bawah pengurusan yang baik, tanaman vanilla akan mula berbuah pada tahun penanaman ke-3. Buahnya adalah hasil yang dinanti-nantikan. Buah segar hendaklah diproses, jika tidak ia tidak bernilai. Proses buah segar vannilla kepada buah kering merangkumi 4 peringkat seperti di bawah :
1. Pengurusan Buah : Merendamkan buah segar ke dalam air panas bersuhu di antara 63-65°C selama 3-4 minit kemudian mengeluarkannya dan diletakkan ke dalam satu bekas.
2. Pemeluhan Buah ; Hari keesokannya, keluarkan buah daripada bekas kemudian menyeraknya di bawah pancaran matahari selama 2 – 3 jam berturut-turut selama 5 – 6 hari.
3. Pengeringan Buah : Buah kemudian diserakkan dalam bilik bersuhu biasa untuk selama 1 bulan. Bau harum vanilla akan mula menghambur keluar.
4. Menyimpan Buah : Buah kemudian diikat dan dibalut dengan kertas lilin kemudian disimpan di dalam kotak kayu selama 3 bulan. Buah kering yang disimpan ini akhirnya akan mengeluarkan keharuman yang mempesonakan dan boleh dijual dengan harga yang tinggi.
Bahan rujukan :
Jagdish Reddy, Vanilla cultivation information guide,Agrifarming, informasi portal, 2016.