Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Penternakan burung puyuh di Malaysia belum berkembang secara meluas. Keadaan ini disebabkan oleh anggapan sesetengah orang bahawa sektor ini tidak memberi pulangan berbaloi. Anggapan ini mungkin tidak benar kerana burung puyuh ini adalah salah satu spesies burung penternakan yang paling kecil di dunia. Penternakannya tidak memerlukan ruang yang besar. Kebiasaannya untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan ini, mereka boleh bermula di kawasan sekitar rumah. Burung betina akan mula bertelur hampir setiap hari selepas 7 minggu diternak. Justeru itu ia memberi pulangan yang agak cepat. Permintaan terhadap telur dan daging burung puyuh di pasaran juga agak tinggi kerana ia kaya dengan khasiat. Daging burung puyuh juga sedap dibandingkan dengan ayam atau itik.
Tujuan utama menternak burung puyuh adalah untuk mendapatkan telur dan daging. Inilah nilai komersial terpenting bagi burung ini. Telurnya kaya dengan protein, fosforus, besi, vitamin A, B1 dan B2 manakala dagingnya juga mengandungi lemak yang lebih rendah berbanding daging lain. Demikian, ia sesuai untuk kesihatan manusia teruatama mereka yang berdarah tinggi. Telurnya juga mengandungi lemak yang lebih rendah sebanyak 2.47% berbanding telur ayam. Justeru itu sesetangah orang menganggap telurnya dapat mengawal darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Disebabkan oleh penternakan ini boleh dimulakan secara kecil-kecilan, maka modal permulaan dan tenaga buruh juga kecil berbanding ternakan ayam dan itik.
Ciri-ciri burung puyuh hendaklah difahamkan dahulu sebelum memulakan penternakan. Seekor burung puyuh matang hanya seberat di antara 150 – 200 gram dan telurnya pula 7-15 gram. Burung puyuh betina mula menghasilkan telur apabila mencapai umur 6-7 minggu selepas diternak. Selepas itu ia akan menghasilkan telur setiap hari jika bahan makanan diberikan secukupnya. Kebiasaan seekor burung puyuh betina dapat menghasilkan 300 biji telur dalam tahun pertama penternakan kemudian berkurangan kepada 150-175 biji pada tahun kedua. Burung puyuh tidak menetas telurnya sebaliknya kerja ini perlu dijalankan oleh mesin penetas. Telur burung puyuh juga menampilkan pelbagai warna dan dikira cantik juga.
Seekor burung puyuh boleh hidup selama 3-4 tahun. la perlu diusahakan dalam suasana sunyi dan tenteram serta dilengkapi dengan cahaya untuk meningkatkan pengeluaran telur. Burung ini mudah terkejut dan justeru itu suasana yang sunyi dan tenteram akan mengurangkan stres yang dihadapi. Umumnya burung puyuh menghasilkan telur di waktu petang. Penetasan telur oleh mesin penetas mengambil masa 17 hari dan setiap ekor burung puyuh baru lahir adalah seberat 6-7 gram sahaja. Untuk tujuan penetasan, hanya telur yang sihat dipilih. Telur yang sihat mempunyai berat 9-11 gram serta berkulit licin dan keras. Seekor burung puyuh jantan yang diletakkan bersama dengan 5 ekor betina akan menjana persyenyawaan yang baik dalam pengeluaran telur.
Terdapat 18 spesies burung puyuh yang boleh diternak secara komersial. Kesemua spesies ini dibahagikan pula kepada burung puyuh penelur dan burung puyuh pedaging. Beberapa contoh burung puyuh penelur di arena antarabangsa ialah Tuxedo, Pharaoh, British Range, English White dan Manchurian Golden manakala spesies pedaging ialah Bobwhite (American) dan White Breasted (Indian). Dalam keadaan Malaysia, Jabatan Haiwan telah mengeluarkan sejenis burug puyuh pedaging yang dikenali Puyuh Ikta. Burung ini diperolehi melalui pembaiak terkawal demi menjamin mutunya. Namun, minat masyarakat terhadap daging burung puyuh masih di tahap rendah walaupun ia sangat berkhasiat.
Untuk menternak burung puyuh secara kecil-kecilan, satu reban diperlukan. Saiz reban yang dahulunya digunakan untuk menternak arnab merupakan saiz yang sesuai untuk menternak 6 ekor burung puyuh. Bekas reban ayam pula kurang sesuai untuk tujuan ini. Dalam reban itu disediakan sedikit rumput kering yang bebas kuman untuk tujuan peneluran. Langkah keselamatan perlu diutamakan semasa membina reban untuk mengelakkan perosak khususnya tikus, ular dan biawak masuk ke situ. Tambahan sistem pengudaraan juga perlu baik kerana burung puyuh menghasilkan tinja yang mengandungi amonia yang agak tinggi.
Penternakan burung puyuh juga boleh dijalankan di dalam reban berpetak dan kaedah ini dirasakan lebih sesuai untuk memudahkan pengurusan. Saiz reban ialah panjang 120cm x lebar 120cm dan tinggi 25cm yang diperbuatkan daripada jaring logam dengan kepadatan 5mm x 5mm. Bekas air dan palung makanan yang sesuai dibekalkan di dalam reban. Burung puyuh suka terhadap tumbuhan atau rumpai lembut dalam habitat mereka, oleh itu pemeliharaan tumbuhan seumpama ini dalam reban akan meriangkan mereka. Pasir juga digemari oleh burung puyuh, dengan meletakkan pasir dalam reban untuk mereka ‘mandi pasir’ adalah amalan yang digalakkan di samping pasir juga dapat mengelak daripada serangan parasit.
Setiap reban hendaklah dicuci setiap minggu untuk menjaga kebersihan. Amalan ini juga dapat mengurangkan pertumbuhan bakteria, kuman atau lelabah merah. Bekas air dan palung makanan juga kena dibersihkan selalu. Gantikan pasir lama dengan yang baru serta segala sisa lama yang berada dalam reban digantikan dengan yang baru. Cahaya diberikan kepada burung puyuh. Setiap hari mereka ini memerlukan 15 jam cahaya kemudian dipadamkan supaya mereka dapat rehat dan tidur. Kualiti tidur yang baik akan menjamin pengeluaran hasil yang baik. Telur di dalam reban hendaklah dikumpul setiap hari. Secara purata seekor burung puyuh betina dapat mengeluarkan 5-6 biji telur seminggu.
Kesihatan burung puyuh juga perlu diperhatikan dengan baik. Jika burung puyuh berkumpul di satu penjaru bermakna mereka sama ada terasa sejuk atau sakit. Keluarkan burung puyuh itu ke satu tempat yang bersuasana suam, jika sakit maka perlu diubati segera. Lelabah merah adalah parasit utama yang mengganggu kehidupan burung puyuh, maka melalui perletakan serbuk lelabah atau ‘mandi pasir’ dijangka ancaman tersebut dapat dikurangkan.
Burung puyuh diberikan makanan dan air bersih setiap hari. Saiz badan yang kecil tidak memerlukan makanan yang banyak, sekadar 20-30 gram seekor sudah memadai. Makanan untuk burung puyuh perlu mengandungi protein yang lebih tinggi kerana keperluan diet mereka. Memandangkan burung puyuh tidak tamak dalam pemakanan mereka, maka tidak perlu khuatir burung puyuh akan terlebih makan.
Setelah anak burung puyuh menetas daripada telur, makanan permulaan atau ‘chic starter’ perlu dibekalkan sehingga mereka berumur 6 minggu. Makanan permulaan untuk spesies pedaging perlu mengandungi 23% protein, 1% kalsium, 0.5% fosforus dan 0.5% methionine manakala spesies penelur mengandungi 24% proein, 0.85% kalsium, 0.6% fosforus dan 0.5% methionine.
Selepas umur 6 minggu, makanan perlu ditukar kepada jenis makanan pembesaran (grower mash). Dalam rumusan ini, burung puyuh pedaging diberikan 19% protein, 0.9% kalsium, 0.5% fosforus dan 0.4% methionine manakala spesies penelur ialah 18% protein, 2.75% kalsium, 0.65% fosforus dan 0.45% methionine. Makanan untuk ternakan ayam juga sesuai untuk burung puyuh, cuma perlu tambah lagi sedikit protein dan nutrien lain ke dalam makanan tersebut sudah memadai. Seekor burung puyuh dewasa makan sebanyak 20-25 gram makanan sehari.
Bekalan cahaya kepada burung puyuh akan meningkatkan kadar pengeluaran telur. Cahaya dari mentol 40 hingg 100 watt boleh digunakan untuk tujuan ini. Keperluan cahaya oleh burung puyuh adalah berbeza mengikut tumbesaran seperti dapat dilihat di Jadual 1.
Penjagaan anak burung puyuh yang baru lahir mementingkan bekalan suhu dan cahaya antara 14 – 21 hari. Keperluan ini boleh dilihat di jadual 2.
Menurut sumber, harga telur burung puyuh di pasaran ialah 50 biji di sekitar RM6.80. Bagi penternak yang tidak menggunakan bahan kimia terhadap telur mereka, telur dapat dijual dengan lebih mahal iaitu RM4 bagi 14 biji. Ini kerana telur seperti ini adalh organik dan bebas bahan kimia. Bagi produk sampingan iaitu daging burung puyuh, harga di pasaran ialah sekitar RM2.40 – RM4.50 seekor. Ada penternak tempatan merasa lebih selesa selesa menjual telur burung puyuh berbanding jualan dagingnya kerana telur mempunyai permintaan lebih tinggi serta kurang penternak yang menjalankan bisnes ini.
Bahan rujukan :
Dr. G. Kalaiselvi, “Quail farming business is a profitable business for small and landless farmers”, Tamil Nadu Veterinary and Animal Sciences University, Chennai.