You are currently viewing Teritip dan Hama lelabah Merah Dua Serangga Perosak Betik Yang Perlu Dikawal

Teritip dan Hama lelabah Merah Dua Serangga Perosak Betik Yang Perlu Dikawal

- - iklan - -

Selain lalat buah, teritip timur (Oriental scale) dan hama lelabah merah (Red spider mite) merupakan serangga perosak ke atas buah-buahan tropika. Teritip menyerang tanaman ciku, durian, limau dan pisang manakala hama lelabah merah menyerang tanaman mangga, dokong, limau, nangka dan cempedak. Kedua-dua serangga perosak ini juga menyerang tanaman betik.

Teritip dewasa dan peringkat nim akan menyerang batang, buah dan daun pokok betik dengan menghisap cecair pada bahagian-bahagian pokok menyebabkan pokok menjadi kering selanjutnya membantutkan pertumbuhan. Dalam keadaan ini, bahagian daun tidak dapat berkembang dengan baik, buah terbantut dan batang pula mungkin akan patah di bahagian pangkal batang. Serangan pada buah betik selanjutnya akan memudahkan jangkitan kulat seperti penyakit bintik berpusar apabila buah masak kelak. Manisan yang dikeluarkan oleh perosak ini juga akan memupuk pertumbuhan kulat kulapuk hitam di permukaan buah dan menjejaskan nilai kosmetik buah. Biasanya aras serangan teritip di ladang betik adalah di paras rendah sehingga sederhana.


Sebagai kawalan, apabila terdapat serangan teritip, maka penyemburan minyak putih ke atas buah diperlukan. Racun ini adalah seperti Albarol, 13 ml/4.5 liter air atau Shell Miscible White Oil, 57 ml/4.5 liter air. Kawalan semut juga wajib kerana ia membantu dalam penyebaran teritip dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Semut boleh dikawal dengan semburan malathion (contoh: CH Malaxion 84, 15 ml/10 liter air) atau chlorpyrifos (contoh : Donshot 155, 37-70 ml/18 liter air). Sekiranya terdapat kulapuk hitam, maka boleh sembur dengan benomyl (contoh: Benlate, 4 g/4.5 liter air) ke bahagian yang diserang.

 

Hama lelabah merah pula menyerang bahagian daun pokok betik. Perosak ini akan menghisap cecair di bawah permukaan daun menyebabkan daun menjadi kuning, layu dan pinggir daun menggulung. Akhirnya daun akan gugur. Oleh kerana daun adalah media proses fotosintesis, kekurangan daun akan menyebabkan tumbesaran dan pengeluaran hasil terjejas. Serangan hama lelabah merah biasanya bertambah serius di musim kemarau. Aras serangan di ladang betik umumnya dari paras rendah ke sederhana tinggi.


Untuk mengawal hama lelabah merah dengan berkesan, semburan racun diperlukan seperti Habamec 1.8 EC, 10 ml/10 liter air, dicofol (contoh: Kelthane EC) atau amitraz (contoh: Mitac 20 EC, 11 ml/10 liter air) yang disembur secara bergilir-gilir dan diselangkan setiap 10-14 hari.

Penggunaan racun serangga perlu dijalankan secara bijak dan apabila perlu sahaja untuk mengelakkan hama menjadi kebal terhadap racun yang digunakan.

Sumber maklumat :

Ithnin Badri et al., Serangga Perosak Buah-Buahan Tropika Malaysia, MARDI, 2008, hal. 22-25.

Hantar blog ini kepada :