You are currently viewing Perubahan Bentuk Buah Nanas MD2 Menurunkan Harga Pasaran

Perubahan Bentuk Buah Nanas MD2 Menurunkan Harga Pasaran

- - iklan - -

Baka nanas MD2 kini digemari oleh ramai penanam kerana ia memiliki ciri yang unik dari segi bentuk buah, warna kulit, isi dan saiz buah. Ciri-ciri ini telah menjadikan nanas MD2 sebagai pilihan utama untuk pasaran eksport selain penggunaan domestik.

Hal ini disebabkan oleh ciri utamanya dari segi buah yang berbentuk selinder atau segi empat. Bentuk buah ini digemari orang ramai dan boleh memperolehi harga pasaran yang baik. Ciri asal buah MD2 yang berasal dari Costa Rica adalah berbentuk selinder dengan berat buah 1.3 2.5 kg, nilai kemanisan melebihi 14 Brix dan nilai asidnya 0.4 – 0.45%. Namun, bentuk buah nanas MD2 yang ditanami dalam negara sudah beralih menjadi bentuk lonjong menyerupai buah nanas Morris. Menururt laporan, sebanyak 40-50% nanas MD2 yang dikeluarkan dalam negara berbentuk sebegitu sehingga harga pasarannya menjadi rendah. Ini kerana bentuk ini tidak sesuai untuk pasaran eksport.

Keadaan ini disebabkan oleh pembiakan sama ada menggunakan sulur pokok induk atau induk untuk kultur tisu yang tidak tulen. Umpamanya, jika sulur atau induk kultur tisu adalah bahan tanaman dari induk yang buahnya berbentuk lonjong, maka tentu akan menghasilkan buah berbentuk lonjong. Oleh yang demikian, bahan tanaman MD 2 yang dihasilkan secara kultur tisu hendaklah diperhatikan. Dengan kata lain, sumber induk untuk menjalankan kultur tisu itu hendaklah dari induk yang tulen supaya menghasilkan bahan tanaman MD2 yang dapat mengeluarkan buah berbentuk selinder atau empat segi.

Kononnya, bahan nanas untuk kultur tisu yang menghasilkan buah lonjong ini adalah diimport dari luar negara. Anak benih yang tidak diterima ini telah berubah bentuk buahnya daripada bentuk asal iaitu selinder kepada bentuk lonjong. Keadaan ini telah mengakibatkan penanam nanas diperyakinkan bahawa bahan tanaman nanas MD2 dari kultur tisu adalah tidak baik kerana mempunyai masalah somaklonal yang tinggi.

Berkenaan dengan perkara ini, MARDI telah membangunkan satu teknologi untuk menghasilkan anak benih nanas MD2 menggunakan sistem kultur tisu cecair. Teknologi ini telah dipatentkan pada tahun 2013. Sistem kultur tisu ini menggunakan jambul sebagai bahan nanas. Pucuk pemula dihasilkan pada permulaan proses kemudian digandakan dan dibiak baka menggunakan kaedah goncangan dan medium cecair menggunakan hormon bagi menghasilkan anak benih dalam jumlah yang besar.

Anak benih nanas tanpa tanpa akar yang dihasilkan itu kemudian dipindahkan terus ke rumah kaca tanpa melalui proses pengakaran secara in vitro. Medium campuran yang sesuai untuk pertumbuhan anak benih nanas secara in vitro adalah mudah dan tidak perlu melalui proses pensterilan dan ‘acclimatition. Dengan itu masa dan tenaga boleh dikurangkan malah dapat memudahkan operasi pemindahan anak benih. Inovasi ini juga boleh mengurangkan kos pengeluaran di samping meningkatkan kualiti anak benih berbanding dengan teknologi terdahulu.

Penanaman bahan tanaman MD2 kultur tisu di lapangan telah dijalankan di MARDI Sintok, Kedah bermula tahun 2013-2015. Prestasi tumbesaran, pembungaan dan pengeluaran hasil direkodkan. Antara data penting yang mungkin ada kaitan dengan somaklonal juga dicatatkan seperti bentuk buah dan peratusan yang dihasilkan, peratusan pembungaan dan berat buah.

Sebagaimana yang diketahui, ciri bentuk buah yang sesuai untuk pasaran eksport ialah segi empat dan selinder lonjong edikit manakalah bentuk buah selinder sangat lonjong merupakan buah yang tidak dikehendaki dan bentuk buah inilah yang selalu disebutkan sebagai terdapat variasi somaklonal dalam bahan tanaman kultur tisu.

Hasil kajian di lapangan MARDI Sintok menunjukkan bahan tanaman kultur tisu cecair mempu menghasilkan anak pokok MD2 yang berbuah bentuk segi empat atau selinder lonjong sedikit dengan peratusan yang tinggi. Pendek kata, pemilihan bahan untuk kultur tisu amat penting kerana hanya bahan induk yang tulen akan menghasilkan anak pokok nanas MD2 yang berbuah selinder atau segi empat.

 

Sumber Maklumat :

Zuraida Ab. Rahman et al., “Teknologi Penghasilan Anak Benih Nanas MD2 Melalui Kaedah Kultur Tisu dan Penilaian Kajian Lapangan”, Buletin Teknologi MARDI, bil. 12(2017): 9-17.

Hantar blog ini kepada :