You are currently viewing Kos Pengeluaran Dan Pulangan Integrasi Sorghum Dengan Kelapa Sawit

Kos Pengeluaran Dan Pulangan Integrasi Sorghum Dengan Kelapa Sawit

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Integrasi di ladang sawit merujuk kepada satu sistem pertanian yang melibatkan penanaman tanaman, pemeliharaan ternakan atau pelaksanaan aktiviti pertanian yang lain di ladang kelapa sawit. Ia merupakan satu strategi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengurangkan import makanan negara dan seterusnya mencapai tahap mampu diri dalam pengeluaran makanan serta meningkatkan pendapatan untuk pekebun-pekebun kelapa sawit.

Sumber makanan ternakan yang mencukupi merupakan faktor yang penting untuk menampung perkembangan industri ternakan yang semakin meningkat. Di antaranya Sorghum merupakan salah satu tanaman makanan ternakan berpotensi yang boleh diintegrasikan dengan tanaman kelapa sawit. Sorghum merupakan bahan asas pembuatan makanan ternakan yang berkhasiat.

Sorghum Sebagai Makanan Ternakan

Sorghum makanan ternakan (forage Sorghum) berasal dari Ethopia dan Sudan, ia bersama-sama dengan gandum, beras, barli dan jagung tergolong dalam keluarga graminineae. Sorghum boleh mencapai ketinggian sehingga 4 meter dan sesuai ditanam pada suhu antara 26°C hingga 37°C dan juga boleh ditanam di kawasan setinggi 1200 meter dari aras bumi. Sorghum mempunyai ciri-ciri penghasilan yang tinggi, daya ketahanan yang kuat terhadap kemarau, takungan air, suhu tinggi dan suhu sejuk.

Sorghum adalah lebih berkhasiat dari rumput gajah (Napier Grass). la memiliki kandungan protein mentah dan serat mentah yang tinggi, yakni 10-12%. Tanaman ini bukan sahaja boleh dimakan dan simpan secara mentah, malah juga boleh disimpan sebagai bahan makanan ternakan ruminan seperti lembu, kambing, biri-biri dan rusa.

Kajian Tanaman Percubaan

Satu kajian tanaman sorghum telah dijalankan oleh Kementerian Pertanian pada tahun 2008-2010 dengan integrasi kelapa sawit yang ditanam atas tanah mineral. Kajian dijalankan di tapak-tapak penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang terletak di ladang MAB (Malaysia Airport Berhad) di KLIA Sepang, Selangor, Kluang (Johor), Keratong (Pahang) dan Lahad Datu (Sabah).

Negara-negara yang mempunayi industri ternakan yang maju seperti Amerika Syarikat, England, Rusia, Australia dan Canada sangat menitikberatkan kajian terhadap kualiti dan baka sorghum, beberapa klon yang berkualiti tinggi telah berjaya dibiak. Kajian yang dijalankan di plot MPOB ini adalah mengambil benih bermutu tinggi yang berasal dari Australia.

Sistem Dua Baris – Penembusan Cahaya Yang Mencukupi

Tanaman kelapa sawit dalam kajian mengamalkan sistem tanaman dua baris (double avenue). Sistem tanaman ini membolehkan penembusan cahaya matahari yang mencukupi menerusi kanopi sawit sepanjang hayat sawit supaya pokok lain boleh hidup dan mengeluarkan hasil yang berekonomi.

Penyediaan Tanah Tanaman

Kelapa sawit ditanam dalam dua barisan yang mana jarak antara tanaman dalam barisan yang sama ialah 6.1m manakala jarak antara barisan dengan barisan ialah 9.1m. Sebelum penanaman Sorghum, rumput-rumpai yang tertumbuh di ruang berjarak 15.2 m di antara dua barisan dengan dua barisan yang lain itu perlu dibersihkan (rajah 1). Tanah perlu dibajak dua pusingan dengan bajak piring dan bajak putar sedalam 20-30 cm. Selang masa membajak adalah selama 7 hingga 10 hari.


Benih Sorghum pula ditanam dengan ruang 20cm x 70cm. Pengurusan sawit juga adalah selaras dengan pengurusan perladangan yang standard. Masa Masa yang paling sesuai untuk menanam ialah sebelum musim hujan, untuk memastikan pertumbuhan yang baik dan mempunyai kehidupan yang tinggi. Setiap hektar memerlukan 7 kg biji benih Sorghum yang boleh menghasilkan sejumlah 71,428 pokok Sorghum per hektar.

Secara amnya, tanaman sorghum boleh dituai 50 hingga 55 hari selepas ditanam. Cara penuaian adalah memotong pokok 25-30 cm dari paras tanah. Sorghum boleh dituai sebanyak 4 kali bagi setiap musim tanaman dengan selang waktu di antara 35-40 hari.

Pembajaan NPK

Baja adalah diperlukan dalam musim penanaman. Adalah dicadangkan mengguna baja sebatian NPK, baja fosfat dan kalium sebagai baja basal menurut kadar yang disyorkan. Pada tempoh penuaian pertama dan ketiga, baja urea disyorkan untuk digunakan sebagai baja saringan (top dressing).

Kos Pengeluaran dan Pendapatan

Tanaman forej Sorghum di ladang kelapa sawit sistem dua baris memerlukan kos pengeluran sebanyak RM5,580.00 kg/ ha/ musim. Penghasilan purata ialah 320 tan/ha/tahun, harga satu tan jerami (fodder) adalah RM70.00. (sila rujuk jadual 1)

Dengan itu, jumlah pendapatan kasar dan bersih tahunan masing-masing adalah RM22,400.00 dan RM11,240.00. Pendapatan bersih tahunan ini diperolehi melalui kiraan pendapatan bersih bulanan daripada perolehan tanaman forage Sorghum sebanyak RM937.00/ha (Jadual 2).


Bagi pendapatan yang diperolehi daripada hasil kelapa sawit pula, ia dikira berdasarkan harga buah tandan segar (BTS) RM540.00/tan menurut penghasilan BTS 25.40 tan/ha pada tahun 2010, lantaran memberi pendapatan kasar dan bersih tahunan masing-masing pada RM13,716.00 dan RM8,128.00 (bersamaan RM677.00/bulan).

Gabungan kedua-dua pendapatan bersih bulanan ini yang diperolehi melalui nilai hasil forage Sorghum dan BTS ialah RM937.00 + RM677 = RM1,614.00. Inilah pulangan bersih yang dapat diberikan oleh projek integrasi tanaman Sorghum dengan kelapa sawit.


Kesimpulan

Sorghum adalah tanaman makanan ternakan yang boleh membantu pembangunan industri ternakan dan menggerakkan ekonomi negara kita dan seterusnya dapat menambahkan pendapatan pengusaha tanaman kelapa sawit. la juga meningkatkan kecekapan dan produktiviti penggunaan tanah dan memainkan peranan yang penting sebagai tanaman yang berpotensi besar secara integrasi dengan tanaman kelapa sawit.

la bukan sahaja menyokong industri penternakan di negara kita sebagai sumber makanan ternakan untuk kambing, biri-biri, rusa, lembu dan haiwan ternakan ruminan yang lain, bahkan ia berkesan untuk melindungi alam sekitar serta bermanfaat terhadap sistem ekologi.

Sumber Maklumat :

Norkaspi Khasim; Raja Zulkifli Raja Omar; Wahid Omar; Kamil Azmi Tohiran; Idris Omar; Suboh Ismail; Noorkhairani Muhamad Basri and Hasnol Othman “Integration Of Forage Sorghum With Oil Palm”, MPOB TT No. 495, MPOB Transfer of Technology Seminar 2011.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
No.5, Jalan TP2, Taman Perindustrian Sime UEP, 47600 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350

Website: www.behnmeyer.com

Sila kongsi kepada kawan :