Nanas ditanam di Malaysia sejak tahun 1888 apabila seorang Eropah membawanya ke Negeri Johor untuk ditanam sebagai tanaman kontan di ladang getah dan kelapa. Seterusnya ia telah berkembang dengan baik sehingga penubuhan Lembaga Perindustrian Nanas Malaya pada tahun 1957 yang kemudian ditukar menjadi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia pada tahun 1992. Perkembangan ini menyatakan ia adalah satu industri yang besar di Malaysia.
Sebagai tanaman tropika dan subtropika, ia tumbuh dengan baik di bawah cuaca yang panas dengan suhu optimum 30°C. Salah satu kelebihan nanas ialah ia dapat tumbuh di kawasan tanah yang masam dengan nilai pH 3.5 – 4.5 tanpa mendatangkan kesan negataif terhadap tumbesaran. Air tidak memainkan peranan utama dalam pembungaan nanas kerana ia telah diaruh dengan hormon tetapi pengambilan baja adalah kritikal semasa pembentukan buah.
• Penanaman
Kawasan datar adalah sesuai untuk dipilih terutama dalam penanaman berjentera. Tanah mineral yang keras itu perlu dibajak sepak diikuti bajak piring dan bajak putar. Sehari sebelum penanaman, sekali lagi bajak putar digunakan untuk menggemburkan lagi tanah bagi memudahkan penanaman.
Petak tanaman perlu ditandakan dan setiap plot adalah selebar 25 meter supaya menyesuaikan dengan kelebaran mesin penyembur dan mesin penuai yang lebarnya 12 meter. Setiap petak adalah sepanjang 300 meter tetapi juga boleh dikurangkan kepada 156 meter sekiranya keluasan tanaman adalah satu ekar. Di antara petak – petak, lorong selebar 2 meter disediakan untuk laluan traktor.
Penanaman nanas adalah menggunakan sulur daripada pokok induk yang sihat dan berhasil tinggi. Terdapat 4 jenis sulur iaitu sulur tangkai, sulur udara, sulur bumi dan jambul (crown). Saiz sulur hendaklah seragam agar mendapat tumbesaran yang seragam nanti. Umumnya sulur besar yang panjangnya lebih daripada 60cm dipilih. Sulur yang diletakkan di tempat bernaung boleh tahan tidak lebih daripada 4 minggu. Amnya sulur tidak perlu dirawat dengan racun kulat melainkan terdapat koya atau lain – lain tetapi keadaan ini jarang berlaku.
Kelebihan penanaman berjentera adalah ia dapat dijalankan dengan lebih cepat sehingga 4 kali berbanding dengan kaedah manual. Penggunaan jentera menanam menghasilkan tanaman barisan kembar dua dengan jarak barisan 20 inci dan jarak di antara pokok yang boleh diubah suai sama ada 10, 11 atau 12 inci. Sementara jarak di antara barisan kembar dua pula ialah 36 inci. Jika menggunakan sistem 12 inci x 20 inci x 36 inci, sebanyak 46,130 pokok boleh ditanam dalam kawasan satu hektar. Bagi nanas untuk diproses, jarak tanaman yang rapat adalah disyorkan supaya mendapat buah yang sederhana besarnya di samping mengurangkan masalah pokok tumbang semasa berbuah serta mengurangkan masalah pertumbuhan rumpai.
Mesin penanam ini beroperasi menggunakan traktor empat roda dengan seorang pemandu dan dua orang 800 penanam benih. Bergerak pada halaju 500 meter/jam, kadar kerjanya ialah 19 jam/hektar (46,130 pokok sehektar dengan 3 orang operator). Kotak bekas benih boleh diisi 2,500 – 3,000 sulur nanas iaitu cukup untuk menanam sehingga 300 meter sekali pengisian. Oleh itu dicadangkan bagi ladang besar, saiz setiap petak ialah 300 meter panjang dan lebar 25 meter, dan di kedua – dua hujung petak diletakkan sulur yang hendak ditanam bagi memudahkan kerja – kerja pengisian semula benih apabila mesin sampai di hujung petak.
• Pembajaan
Baja yang diperlukan untu nanas adalah baja foliar dan baja tabur. Di peringkat 5 bulan pertama penanaman, baja nitrogen adalah penting tetapi peningkatan penaburan baja ini akan memberi kualiti buah yang kurang baik kerana berlakunya pengurangan pepejal terlarut dan asid. Semasa pembesaran buah, kalium (K) adalah unsur penting bagi meningkatkan kualiti buah. Bagi fosforus walaupun kurang berkesan terhadap tanaman nanas, tetapi ia tetap diperlukan untuk pertumbuhan tampang.
Di tanah mineral, 20 g NPK Hijau (15/15/15) sepokok pada 3 dan 6 bulan selepas menanam (dibahagi sama rata) manakala 20 g NPK Biru (12/12/17/2 + TE) sepokok pada umur 9 bulan selepas menanam adalah mencukupi untuk penghasilan yang tinggi. Pemberian baja sebatian ini boleh dilakukan menggunakan mesin penabur baja yang dipasang pada traktor empat roda. Kajian di Brazil menunjukkan pengeluaran hasil yang maksimum boleh dicapai dengan kadar 498 kg N dan 394 kg K2O sehektar.
Mesin penyembur baja foliar sepanjang 12 meter boleh digunakan. Penyemburan urea untuk menyuburkan pokok juga boleh menggunakan mesin ini. Pembajaan terakhir dijalankan sebulan sebelum aruhan pembungaan atau apabila pokok mencapai bilangan daun 40 – 45 helai. Keperluan air tidak begitu kritikal terhadap tanaman nanas melainkan untuk tujuan pertumbuhan dan pembentukan buah. Sistem pengairan senapang hujan (rain gun) adalah disyorkan memandangkan ia mudah dipindah – pindahkan serta mempunyai liputan semburan yang luas iaitu satu kepala penyembur dapat mengairkan kawasan bulatan berjejari 25 meter dan selepas disiram beberapa jam di situ, ia boleh dipindahkan ke tempat lain.
• Kawalan Rumpai
Enam bulan yang pertama selepas menanam merupakan masa yang sangat kritikal bagi memastikan rumpai tidak bersaing nutrien, cahaya dan ruang dengan nanas. Semasa pokok masih kecil, traktor masih boleh masuk ke ladang dan melakukan semburan racun rumpai menggunakan penyemur boom yang lebarya 10 meter. Penggunaan racun Gesapax pada kadar 200 ml bagi setiap 18 liter air amat berkesan bagi kawalan rumpai pracambah dan peringkat awal percambahan. Namun begitu, semburan boom ini adalah kurang sesuai sekiranya rumpai tumbuh bertompok – tompok kerana ia akan merugikan racun. Sebaliknya penggunaan penyembur tunggal dengan paip getah panjang yang disambung dari pam penyembur boom tadi adalah lebih praktikal.
Apabila pokok telah membesar, penyemburan racun rumpai boleh juga dilakukan menggunakan penyembur boom 12 meter yang terletak di sisi traktor.
Traktor cuma bergerak di tepi ladang untuk beroperasi dan akan menyembur secara menyeluruh. Untuk itu, penggunaan racun rumpai selektif berjenama Hyvar X sangat berkesan bagi kawalan rumpai selepas cambah dan pada masa yang sama ia tidak membunuh pokok nanas. Selepas 6 bulan menanam, masalah rumpai menjadi tidak kritikal sebab kanopi pokok nanas sudah menutupi permukaan tanah sehingga rumpai sukar untuk hidup.
• Aruhan Pembungaan
Apabila pokok mencapai 40 – 45 lai daun atau sekitar 10 – 12 bulan selepas pokok ditanam, aruhan pembungaan perlu dijalankan. Bahan yang biasa digunakan ialah Ethrel (Ethepon) pada kadar 2 liter Ethrel (b. A. 10.8%) + 15 kg urea dicampur dengan 800 liter air ke dalam tangki semburan. Jumlah campuran ini mencukupi untuk menyembur tanaman seluas satu ekar yang mengandungi 18,000 pokok. Urea digunakan untuk memberi keberkesanan yang lebih baik.
Pokok disembur dengan menggunakan penyembur boom sepanjang 12 meter dari tepi ladang menggunakan traktor empat roda pada halaju 1,000 meter/jam. la disembur secara menyeluruh ke permukaan daun nanas, setiap pokok akan mendapat 45 сс semburan hormon. Semburan aruhan pembungaan mesti dijalankan pada awal pagi sebelum 9.00 pagi atau selepas jam 6.00 petang iaitu semasa liang stomata masih terbuka. Sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh 3 jam semburan dibuat, maka semburan perlu dijalankan sekali lagi.
• Pembuangan Jambul Nanas
Pembuangan jambul nanas adalah untuk mendapatkan saiz buah yang lebih besar, mampat dan berat. Ia boleh dibuat secara manual atau menggunakan bahan kimia Fruitone. Ini dilakukan apabila buah nanas sudah habis kering bunganya iaitu kira – kira 80 hari selepas aruhan pembungaan atau 35 – 40 hari selepas bunga keluar. Berat buah boleh bertambah sebanyak 10% dengan menggunakan cara ini. Kepekatan bahan kimia Fruitone ini pada 44 ppm sudah memadai. Buah yang diperolehi selepas pembungan jambul juga lebih tahan dalam proses pengangkutan.
• Penuaian Buah
Tempoh kematangan buah nanas adalah bergantung pada kultivar. Nanas Moris, Sarawak, Josapine dan Gandul masing – masing dituai pada 125 – 130, 160 – 170, 115 117 dan 145 150 hari selepas aruhan pembungaan.
Mesin bantuan penuaian berbentuk lengan boom sepanjang 12 meter yang terpasang di sisi trailer dan ditarik oleh traktor sangat sesuai digunakan. Traktor bergerak perlahan di tepi ladang, penuai akan memotong buah nanas dan meletakkannya ke dalam saluran pembawa (conveyor) pada boom boom ini. Buah – buah ini akan dibawa ke dalam bakul yang tersedia di trailer. 3 orang pekerja berupaya memetik satu tan buah dalam masa 20 minit. Tangkai sepanjang 6 – 10 cm dibiarkan pada buah nanas bagi memudahkan kerja pendendalian. Jambul buah biasanya tidak dibuang terutama untuk pasaran eksport.
Sumber maklumat :
Abd Rahim Hassan et al., Manual Teknologi Penanaman Nanas Berjentera, MARDI, 2012.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com