Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com
Website : www.unionharvest.com
Di kawasan penanaman yang sama, umumnya pokok durian akan ditanam dengan beberapa klon bercampur untuk meningkatkan kadar pengeluaran hasil serta kualiti buah. Asas ini wujud dari segi tanaman durian adalah sejenis tumbuhan yang memerlukan pendebungaan silang untuk mendapat peningkatan hasil dan kualiti buah.
Dalam keadaan tertentu, walaupun pokok durian juga boleh menghasilkan buah melalui pendebungaan diri iaitu debunga dan bunga betina dari klon yang sama bercantum, namun kadar kejayaan bagi menghasilkan buah amat rendah serta berkemungkinan besar akan menghasilkan bentuk buah yang kurang cantik. Selain itu, buah durian juga memiliki kepelbagaian hasil, justeru itu dengan mencampurkan beberapa klon di kawasan tanaman yang sama, maka pendebungaan yang berlangsung itu akan memberi hasil buah yang lebih tinggi.
Umpamanya, cita rasa isi buah durian D2 sangat baik tetapi kadar penghasilan buah kurang tinggi manakala D24 pula sebaliknya. Oleh yang demikian, jika dapat mencantumkan kedua-dua klon ini melalui pendebungaan silang, maka dipercayai akan menghasilkan klon yang memiliki hasil dan kualiti buah yang lebih tinggi.
Berdasarkan pandangan ini, maka para penyelidik telah menyarankan supaya pokok durian ditanam secara klon bercampur dalam nisbah D24 60%, D16 25%, D10/D8/D2 5% (Hassan) atau D24 50%, D99 30%, D98/D114 20% (Zainal Abidin, 1991b). Jika dilihat dari tarikh penyelidikan dilakukan, ia telah hampir 30 tahun lamanya dari masa sekarang. Pada masa itu, beberapa klon yang terkenal di masa kini belum ditemui lagi seperti Musang King (D197), Duri Hitam (D200), 101 (D168), Udang merah (D175), Tekka (D160) dan sebagainya. Klon-klon ini sama ada dapat menjalankan pendebungaan diri atau tidak masih tidak diketahui kerana tiada kajian berkenaan dilakukan.
Memandangkan cita rasa klon-klon ini amat tinggi, maka ada sesetengah penanam berpendapat jika beberapa klon ditanam sama, kualiti buah mungkin akan terjejas. Namun begitu, sebagai langkah keselamatan, adalah baik untuk mengamalkan penanaman campuran klon kerana pokok durian pada asasnya memang memerlukan pendebungaan silang, iaitu debunga dan bunga betina mestilah datang dari klon yang berlainan baru boleh mencapai kadar pendebungaan yang tinggi.
Adakah Campuran Klon Akan Menggangu Kualiti Buah ?
Ini satu persoalan yang sering dibangkitkan oleh penanam. Menurut kajian yang dilakukan oleh Somsri (1987), iaitu seorang pakar durian di Thailand, apabila debunga durian Kanyau (D130) dipersenyawakan dengan bunga betina durian Chanee (D129), ia telah menghasilkan bentuk buah yang lebih cantik dan juga lebih besar. Penanam durian di Thailand secara umumnya mengakuri keperluan campuran klon atau melakukan pendebungaan secara manual (tangan atau mesin) kerana mereka yakin langkah ini akan membanyakkan hasil serta meningkatkan kualiti buah. Dalam keadaan ini, kualiti debunga yang digunakan memainkan peranan tertentu. Sejauh manakah kualiti debunga mempengaruhi kualiti buah menjadi fokus tulisan ini.
Kajian ini dijalankan di Chanthaburi Horticulture Research Center, Thailand (CHRC) pada tahun 2000-2001 serta 2002 – 2003 dengan menggunakan 4 klon komersial di negara tersebut iaitu Monthong, Chanee, Kradum Thong dan Phaung Manee bagi meninjau keberkesanan pendebungaan silang ke atas kualiti buah. Beberapa parameter telah digunakan di dalam kajian ini sebagai perbandingan iaitu bentuk dan saiz buah, bentuk, berat dan kuantiti biji benih dan sebagainya. Hasil kajian itu diturunkan seperti berikut:
• Apabila bunga betina Monthong menerima debunga dari ketiga-tiga klon yang lain, kualiti buah yang terbentuk tiada perbezaan yang ketara.
• Pendebungaan diri menghasilkan kuantiti biji benih yang lebih rendah di dalam buah iaitu 7.20 biji benih berbanding dengan yang diperolehi melalui pendebungaan silang menggunakan debunga Kradum Thong yang sebanyak 11.73 biji benih. Kebanyakan bentuk buah Monthong yang dihasilkan melalui pendebungaan diri adalah cacat (gambar B) manakala bentuk buah yang dihasilkan melalui pendebungaan silang adalah normal (gambar A).
• Apabila bunga betina Chanee menerima debunga dari ketiga-tiga klon berlainan, kualiti buah juga tidak berbeza secara ketara tetapi biji benih di dalam buah yang dihasilkan melalui pendebungaan diri jauh lebih rendah (3.75 biji benih) berbanding buah dari pendebungaan silang yang sebanyak 13.2 biji benih. Berat biji benih juga tiada perbezaan yang ketara di antara kedua-dua jenis pendebungaan tersebut.
• Bunga betina dari Kradum Thong apabila didebungakan dengan debunga durian Phaung Manee, ia menghasilkan buah yang bentuknya lebih panjang dan lebar, namun tiada perbezaan ketara dari segi berat buah.
• Apabila debunga Chanee dicantumkan dengan bunga betina dari ketiga-tiga klon berlainan, ia menghasilkan biji benih yang leper (aborted seeds) atau kesip pada kadar yang banyak, dan kuantitinya juga meningkat sehingga 18.5 biji benih/buah.
• Klon Phaung Manee menghasilkan buah yang lebih kurang sama kualiti termasuk saiz buah tidak kira dari pendebungaan diri atau pendebungaan silang. Namun, jumlah dan berat biji benih di dalam buah yang dihasilkan melalui pendebungaan silang adalah lebih tinggi dari pendebungaan diri.
Hasil kajian di atas menunjukkan pertalian yang positif di antara buah dan jumlah & berat biji benihnya. Dalam keadaan ini, biji benih di dalam buah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan buah. Dengan kata lain, kadar kegagalan yang tinggi yang berlaku pada penbungaan diri mungkin disebabkan oleh kegagalan pembentukan biji benih di dalam buahnya. Sebiji durian amnya mengandungi 5 pangsa, sekiranya tiada pembentukan biji benih, maka tentu tidak akan mendapat isi buah di situ. Dengan kata lain, dalam pendebungaan diri, jumlah biji benih yang rendah di dalam buah juga boleh dianggap sebagai salah satu faktor yang menyebabkan kadar kegagalan pembentukan buah yang lebih tinggi.
Berkenaan dengan biji benih yang leper di dalam buah, ia adalah satu fenomena yang belum dapat dirungkai sehingga hari ini. Namun, satu kenyataan yang perlu diketengahkan ialah gejala ini tidak boleh dikaitkan secara mutlak dengan kejadian pendebungaan diri tetapi sebaliknya lebih sesuai dinyatakan sebagai kesan mekenisme pokok dalam pengagihan makanan kepada buah. Dengan erti kata lain, dalam satu pangsa buah umumnya terdapat 6 biji benih tetapi pada kebiasaan hanya 3 – 4 biji yang normal sahaja, selainnya itu adalah biji yang leper. Kajian lain telah menunjukkan kewujudan biji leper di dalam buah yang dihasilkan melalui pendebungaan diri ataupun silang adalah sama-sama disebabkan oleh mekasime pokok dalam menyeimbangkan pengagihan makanan.
Kesimpulan
Hasil penyelidikan seperti disampaikan di atas menunjukkan punca debunga tidak mendatangkan kesan yang ketara ke atas kualiti buah durian seperti bentuk dan saiz. Keadaan ini selanjutnya menyatakan pembentukan kualiti buah lebih bergantung pada pokok induk. Namun, pendebungaan diri telah menghasilkan buah yang bentuknya lebih kecil dan cacat pada kadar yang lebih tinggi adalah satu kenyataan. Oleh yang demikian, hasil kajian ini mungkin boleh dijadikan panduan kepada penanam agar mengamalkan klon campuran di dalam kebun masing-masing semoga menghasilkan buah durian yang lebih cantik bentuknya.
Sumber maklumat :
1. Chitose Honsho et al., “Pollen Sources Effects on Seed Formation and Fruit Characteristics in Thai Durians”, Trop. Agr. Develop. 53(1): 28-32, 2009.
2. Michael J. Brown, Durio-A Bibliographic Review, International Plant Genetic Resources Institute, 1997, pp.77.
Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd