You are currently viewing Pengorek Biji Durian Dan Kaedah Kawalan

Pengorek Biji Durian Dan Kaedah Kawalan

Buah durian mempunyai pelbagai serangga perosak yang mampu merosakkan kosmetik buah serta nilai jualan buah. Umpamanya pengorek biji buah yang disebabkan oleh kupu-kupu pengorek biji spesies Mudaria magniplaga satu gejala yang biasa ditemui di dusun durian. Perosak ini akan menyerang buah yang sedang membesar. Larva akan mengorek kulit buah kemudian masuk ke bahagian isi dan biji. Di permukaan buah sekiranya terdapat butiran fras yang kasar dan basah, ia menunjukkan adanya larva hidup di dalam buah. Jika fras adalah kering maka ia menandakan larva telah membentuk kepompong atau telah dewasa. Biasanya satu atau dua pangsa buah yang dirosakkan oleh larva manakala pangsa lain masih dalam keadaan elok. Serangan ini boleh jadi rendah sehingga sederhana tinggi di dusun.

Kaedah kawalan termasuk langkah kultur budaya dan semburan racun kimia. Dari segi kultur budaya, bagi pokok rendah yang kurang daripada 10 tahun, putik buah berumur 3-4 minggu dibalut dengan karung kertas tebal dapat mengawal serangan ini serta serangan kulat Phytophthora palmivora. Selain itu, buah yang telah rosak hendaklah dikumpul dan ditanam ke dalam lubang yang telah digali supaya supaya menjaga kebersihan dusun. Perangkap cahaya juga boleh digunakan untuk memerangkap kupu-kupu yang aktif di waktu malam. Dengan cara ini, populasinya dapat dikurangkan. Namun begitu, perangkap cahaya tetap memerangkap serangga bermanfaat seperti agen pendebunga yang merupakan satu-satu kelemahan perangkap cahaya ini.

Kawalan dengan racun kimia juga berkesan sebagai kaedah kawalan. Umpamanya racun serangga seperti deltametrin (contoh: Decis, 10-22 ml/10 Iter air), methidathion (contoh: Ultracide 4030 EC, 10 ml/4.5 liter air), cypermethrin (contoh: Garrison 5.5 EC, 12-18 ml/9 liter air), chlorpyrifos + cypermethrin (contoh: Nurelle-D505 EC, 5-12 ml/10 liter air) dan dimethoate (contoh: Dimet 40, 7-15 ml/10 liter air) disembur bergilir-gilir dengan selangan 10-14 hari bermula daripada buah berumur 3 minggu hingga ke pereingkat buah hampir masak, kira-kira 2-3 minggu sebelum gugur. Alat penyembur bermotor dengan tangkai penyembur yang panjang boleh digunakan untuk semburan pokok yang tidak terlalu tinggi kerana penyembur ini dapat mencapai sasaran sehingga 30 kaki tinggi.

Sumber maklumat :

Ithnin Badri et al., Serangga Perosak Buah-Buahan Tropika Malaysia, MARDI, 2008, hal. 50-51.