You are currently viewing Penternakan Rusa Sunda Sambar

Penternakan Rusa Sunda Sambar

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 0082
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Rusa sundar sambar paling banyak didapati di Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri. Sekiranya tujuan utama menternak rusa ialah untuk mendapatkan daging, maka jenis rusa ini adalah pilihan paling sesuai kerana rusa ini bukan sahaja lasak, ia juga dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia serta dapat membesar dengan cepat. Rusa Sunda Sambar jantan dewasa boleh mencapai berat melebihi 90 kg manakala berat rusa betina pula adalah kira-kira 60 kg. Bagaimanapun, sekiranya tujuan ternakan ialah untuk mendapatkan pengunjung, maka rusa sika adalah lebih sesuai kerana keunikan rusa ini seperti warna bulu yang menarik.

Rusa sunda sambar dianggap berasal dari kepulauan Jawa, Bali dan Timor di Indonesia. Namun begitu, ada sesetengah pihak menganggapnya berasal dari New Zealand dan Australia kerana bilangan yang terlalu banyak di kedua-dua negara tersebut. New Zealand dan Australia justeru adalah pengeksport daging rusa ini dan rusa hidup ke seluruh dunia. Hanya rusa jantan yang mempunyai tanduk. Melalui pemerhatian, rusa ini didapati sesuai dengan pelbagai habitat di Malaysia seperti padang rumput, kawasan belukar, kawasan lembah bersungai, ladang kelapa dan ladang kelapa sawit. Ia juga memakan pelbagai jenis rumput dan biasanya lebih aktif pada waktu malam. Rusa ini hidup secara berkumpulan sehingga melebihi 20 ekor. Musuh utama bagai rusa ini alah harimau, ular sawa dan buaya.

 

Dalam usaha menyediakan ladang ternakan, keadaan semula jadi dengan pokok-pokok asal yang tumbuh di situ perlu dipelihara. Pokok-pokok ini penting untuk menjadi tempat teduhan terutama pada waktu tengahari yang terik. Pokok-pokok ini adalah seperti petai, cempedak, nangka, asam jawa dan setoi. Pokok muda hendaklah dipasang dawai atau batang buluh di sekeliling batang di bahagian pangkal agar ia tidak dirosakkan oleh rusa yang akan mengoyak atau mengasah tanduk di situ. Pondok untuk rehatan rusa juga boleh dibangunkan.

Keluasan ladang ternakan rusa adalah bergantung kepada keupayaan belanjawan penternak. Memang terdapat ladang rusa berpagar yang hanya seluas 2 hektar hingga 4 hektar. Penternak berskala besar boleh menternak rusa sehingga 160 hektar.


Untuk membolehkan rusa membesar dengan cepat, rumput ragutan yang mencukupi dan berkualiti amat penting. Justeru itu, ladang rusa hendaklah ditanami rumput pastura seperti rumut signal, rumput gajah (Napier) dan rumput kuda. Rumput pastura juga perlu dibekalkan dengan baja organik untuk memupuk tumbesaran. Selain itu, makanan tambahan juga boleh diberikan seperti roti kering, hampas kacang soya dan makanan berbentuk bijian atau pelet. Namun, kaedah ini biasanya diterapkan oleh sistem berkandang. Rusa ternakan kandang amnya lebih jinak dan mudah dihampiri berbanding rusa ragutan bebas. Blok garam juga perlu disedakan dalam kandang kerana itu amalan penting untuk memupuk tumbesaran dan kesihatan rusa.

Sebuah rumah gelap dan padok kawalan perlu dibina di ladang ternakan untuk tujuan mengumpul, mengasing dan memeriksa kesihatan rusa. Rumah gelap ini mempunyai dinding yang telah dicat hitam serta ditutupi sehingga gelap melainkan beberapa tingkap yang boleh dibuka untuk pengudaraan serta kemasukan cahaya matahari semasa urusan harian.

Di ladang ternakan, padok disediakan untuk ragutan rusa. Rusa mempunyai tabiat meragut rumput sehingga ke pangkal. Oleh yang demikian, sebelum rumput hampir habis diragut, ia mesti dipindahkan ke padok lain untuk mengelakkan padok asal terjejas.

Pagar ladang ternakan adalah daripada bahan logam yang kukuh seperti dawai. Pagar untuk rusa mempunyai pelbagai jenama yang mana sebahagian adalah produk import manakala yang lain adalah produk tempatan. Ia mempunyai kelebihan tersendiri serta harga berlainan. Dawai ini dipasang sehingga ke permukaan tanah untuk mengelakkan anjing liar memasuki padok atau anak rusa menyusup keluar.

Kawalan penyakit adalah amalan penting semasa pemeliharaan rusa. Ubat cacing diberikan kepada rusa 3 bulan sekali manakala parasit seperti kutu dapat dirawat dengan semburan ubat antikutu dilakukan sebulan sekali. Untuk penyakit kuku dan mulut pula, ia dapat dirawat dengan ubat pelalian. Penyakit rusa amnya disemak melalui najisnya. Pendekata, bekalan air yang bersih serta bekas makanan yang dibasmi selalu adalah langkah kawalan penyakit yang baik.

Musim mengawan bagi rusa adalah antara bulan Oktober hingga Januari. Pada masa ini rua jantan akan menjadi resah dan banyak membuat bising. Pada masa ini juga rusa jantan bertambah agresif sehingga mudah bergaduh dengan rusa jantan lain malah berkelahi menyebabkan kecederaan. Oleh itu, sebelum musim mengawan, tanduk rusa jantan hendaklah dipotong. Punca gaduhan adalah untuk menunjukkan kejantanan masing-masing dalam kumpulan supaya dapat menjadi ketua. Ketua kumpulan tentunya berpeluang lebih baik untuk mengawan. Dalam satu musim mengawan, seekor rusa jantan didapati boleh mengawan dengan 10 ekor atau lebih rusa betina.

Selepas mengawan, rusa betina akan bunting selama 6 – 7 bulan. Apabila rusa itu hendak beranak, ia akan menjauhi diri daripada gangguan manusia atau haiwan lain. Anak yang baru lahir hendaklah dibiarkan bersama ibunya selama 72 jam. Sekiranya anak rusa dipegang tangan tanpa memakai sarung dalam tempoh masa tersebut, ibunya akan meninggalkan anaknya. Hal ini berlaku kerana deria ibu yang tajam itu telah mengecam bau manusia di badan anaknya.

Anak yang baru lahir sudah boleh berdiri dalam masa beberapa jam, dan boleh berlari dalam masa 3 hari. Sekiranya melahirkan anak kembar, ibu rusa akan meninggalkan seekor anaknya tanpa penjagaan kerana susu yang tidak mencukupi. Oleh yang demikian, penternak hendaklah mengambil langkah supaya anak-anak ini disusu dan dikultur. Bahagian pusat anak rusa hendak dijaga supaya terhindar dapripada penyakit dan tidak diharungi oleh semut atau serangga lain.

Anak rusa akan bercerai susu atau berhenti menyusu apabila telah berumur 6 bulan. Namun, ada kala ia diceraikan susu ibu dalam masa 24 jam dan digantikan dengan susu gantian. Keadaan ini tidak menimbulkan masalah kesihatan selagi susu awal telah diberikan oleh ibunya.

 

Sumber maklumat :

Khairul Azman Arshad, Penternakan Rusa, Dewan Bahasan dan Pustaka, 2015, cetakan kedua.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 0082
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Sila kongsi kepada kawan :