You are currently viewing Teknik Penanaman Buah Naga

Teknik Penanaman Buah Naga

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Simple Farm Sdn Bhd
Tel : 011-10709708 / 012-7699702
E-mail : mrbanana@simple-farm.com

Website: www.mrbanana.com.my

Penanaman buah naga telah merosot daripada kawasan seluas 1,526 hektar pada tahun 2010 kepada 695 hektar pada tahun 2017 di Malaysia. Ini berikutan serangan penyakit batang reput yang hampir melumpuhkan industri tanaman buah naga pada ketika itu sehingga ramai tidak lagi berani menanamnya. Namun begitu, memandangkan prospek pasaran yang masih baik, maka sesetengah penanam masih menceburi ke bidang itu walaupun risiko itu tetap wujud tetapi melalui penggunaan amalan kultur yang lebih baik pada masa kini, ancaman penyakit itu telah dapat dikurangkan.

Buah naga sejenis tanaman memanjat yang memerlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut. Selain itu tanaman ini juga bersifat long day plant yang memerlukan cahaya matahari yang panjang sehingga 7 jam sehari demi memupuk tumbesaran dan pembungaan. Tanaman ini juga menjalankan sintesis makanan pada waktu malam.

Untuk kawasan yang mengalami musim kering selama 3 bulan berturut-turut (<100mm sebulan), tanaman ini tidak sesuai ditanam. Tanah mengandungi pasir yang tinggi (melebihi 90%) juga tidak sesuai kerana dayan pegangan air yang lemah. Umumnya, taburan hujan tahunan antara 500 – 1,500mm dengan taburan sekata sepanjang tahun adalah sesuai untuk tanaman ini.

Bagi menanam buah naga, bahan tanaman boleh dipilih daripada pokok induk yang mana keratan itu berwarna hijau ketuaan dan bebas penyakit. Setiap keratan antara 30-45cm dipilih daripada bahagian atasan pokok induk atau pada dahan yang melampai. Keratan ini mesti dipotong secara melintang dan rata bersih tanpa luka. Jika pokok induk penandaan melebihi dua varieti, maka hendaklah dibuat supaya mengelakkan percamparan. Setiap keratan perlu dirawat dengan racun kulat dengan mencelup keseluruhan keratan ke dalam racun itu selama 5-10 minit kemudian dikeringkan dengan suhu udara seperti di bawah kipas. Keratan yang telah dirawat perlu ditanam dalam tempoh 2 minggu sama ada secara terus di ladang, tapak semaian atau di polibeg.


Penanaman

Saiz lubang ialah 45cm x 45cm x 60cm (kedalaman), kemudian memasukkan tiang sokongan berukuran 1.8m x 12cm x 12cm dengan kedalaman 60cm. Tanah kemudian dikambus bagi menutup lubang. Jarak tanaman tiang sokongan ialah 3.3m x 3.3m, iaitu satu hektar memerlukan 1,000 tiang.

Baja penggalak akar seperti CIRP hendaklah ditabur ke dalam lubang sebelum menanam. Pastikan tanah di sekeliling tiang digemburkan seperti busut kecil. Sebanyak 4 keratan diperlukan pada setiap tiang dan ini bermakna 4,000 keratan diperlukan untuk satu hektar. Keratan ditanam secara menegak sedalam 3cm. Batang meleper hendaklah melekat pada tiang dengan cara mengikatnya menggunakan tali plastik. Penyiraman air sebanyak 0.5 liter diberikan pada setiap tiang jika hari terlalu panas.

Apabila batang muda sudah keluar, ia perlu diikat. Pastikan empat atau lima pucuk keluar daripada setiap batang. Pucuk selebihnya dibuang dengan cara mencantas memakaikan gunting. Semua dahan yang dicantas hendaklah dikumpul dan dibuangkan di tempat lain demi mengelakkan ketimbulan penyakit. Pucuk baru yang keluar daripada batang hendaklah dipangkas manakala semua batang utama digalakkan membesar sehingga melewati para yang dibina. Kanopi pada pokok jangan terlalu rimbun dan hendaklah dilakukan pangkasan mengikut bentuk tengah terbuka (open-centre). Ini demi mendedahkan bahagian atas dahan kepada sinaran cahaya matahari. Pemantauan hendaklah dijalankan dari segi bilangan dahan yang berpenyakit seperti bintik putih setiap minggu untuk mengetahui status kesihatan tanaman.

 

Pembajaan

Bagi tanah yang masam, pengapuran perlu dijalankan kerana tanaman buah naga hanya sesuai ditanam di tanah dengan nilai pH 6-7. Kapur pertanian seperti ground magnesium limestone boleh mengurangkan kemasaman tanah serta dapat membekal unsur surih kepada tanaman. Kadar kapur diperlukan adalah dalam anggaran 4-5 tan/ha bergantung pada kemasaman tanah.

Memandangkan sistem akar buah naga adalah cetek, maka baja organik perlu diberikan dalam kuantiti yang banyak supaya tekstur tanah dapat diperbaiki untuk melestarikan tanaman. Selain itu, baja butiran NPK dan baja foliar boleh diberikan serentak serta dengan kuantiti tertentu setiap pusingan.

Program pembajaan untuk tanaman ini boleh lihat di jadual 1.


Penggemburan tanah di sekeliling pokok dijalankan demi mengurangkan saingan dengan rumpai. Baja diberikan berdekatan pokok tanpa menyentuhi pangkal batang agar tidak meningkatkan kepekatan baja terhadap pokok.

 

Pengurusan Perosak dan Penyakit

Racun serangga hendaklah digunakan kerana tanaman buah naga mempunyai banyak serangga perosak. Dalam hal ini, racun seperti chloropyrifos dan cypermethrin boleh digunakan. Selain itu, pelekat serangga juga berkesan mengawal serangga perosak. Disarankan campuran racun serangga, kulat dan baja foliar digunakan bersama pada setiap 10 hari. Buah naga dibungkus untuk mengelakkan serangan lalat buah yang merupakan perosak penting bagi tanaman ini. Melalui pembalutan buah, ia juga dapat melindungi buah daripada serangan burung, tupai, tikus dan kelawar.

Beberapa jenis kulat telah dikenal pasti membawa kerosakan signifikan terhadap tanaman buah naga. Oleh yang demikian, semburan racun berbentuk broad spektrum seperti Decis, Rogor atau racun yang mempunyai bahan aktif dimethote adalah sesuai. Jika jangkitan adalah disebabkan oleh bakteria, maka racun Kocide boleh digunakan.

Di samping itu, semburan campuran 10 g welgrow (baja foliar), 10 g lebacid (racun serangga) dan 20 g manzate-D (racun kulat) dibancuh dengan 1 gelen air adalah disyorkan.

Baja tahi ayam tidak harus digunakan secara berlebihan kerana pokok akan meningkatkan pertumbuhan vegetaif, tisu pokok juga akan menjadi lembut serta mudah terjangkit penyakit.

Amalan kebersihan ladang sangat penting untuk mengurangkan jangkitan penyakit. Oleh itu, keratan yang telah dipangkas mestilah dikumpulkan dan dibakar. Selain itu tanaman buah-buahan lain seperti betik, jambu batu, pisang, limau dan sebagainya dikurangkan kerana ia akan meningkatkan kepelbagaian serangga yang akan akan mengamcam tanaman buah naga. Semburan racun rumpai hendaklah berhati-hati supaya tidak terkena batang pokok kerana tanaman ini berkulit nipis yang mudah melecur. Kawalan rumpai di pangkal pokok secara manual adalah di sarankan.


Pembungaan

Putik bunga akan keluar selepas ditanam 12 bulan. Bagaimanapun, keadaan ini berbeza mengikut kawasan ekoran perbezaan cuaca. Bunga berkembang selepas 45 hari pengeluaran putik bunga yang kecil.

Bagi menggalak pembungaan, pemasangan lampu pada waktu malam selama 4 jam amat berbantu kerana amalan ini akan memanjangkan jangka masa hari siang. Peningkatan bunga dijangka dalam anggaran 30% melalui amalan ini.

Setiap bunga buah naga mempunyai organ betina dan jantan bersama dan pendebungaan silang diperlukan. Amnya angin dan agen pendebungaan lain adalah media penyebaran debunga, namun pendebungaan manual atau berbantu dapat menyumbangkan peningkatan hasil sehingga 50%. Pendebungaan silang dijalankan antara jam 7.00 petang 10.00 malam iaitu masa yang sesuai untuk pendebungaan. Debunga boleh dikutip dan disimpan dalam suhu biasa sebelum digunakan secara sapuan pada stigma bunga betina.

Buah naga akan matang antara 40 – 45 hari selepas selesai proses pendebungaan. Dalam masa ini, kelopak bunga akan layu dan kering selanjutnya putik buah akan mulai membesar.


Anggaran Kos

Kos input pada tahun pertama dianggarkan RM28,200. Purata hasil seekar pada tahun pertama ialah 500 – 800 biji. Harga pasaran untuk varieti buah berisi putih adalah RM1-RM2 manakala varieti isi merah di antara RM5-RM7 setiap kilo. Hasil akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda pada tahun berikutnya dan bertambah pada tahun-tahun akan datang.

Buah naga selain boleh dimakan segar, ia juga boleh dibuat kordial, jem, pati dan lain-lain. Isi dan kulit buah boleh dijadikan pewarna makanan semula jadi dan gincu bibir.

Justeru itu, tanaman buah naga adalah berpotensi untuk diusahakan sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran. Dengan amalan kultur yang lebih teliti pada masa kini serta semburan racun, jangkitan penyakit dapat dicegah serta untuk melestarikan pertumbuhan dan pembuahan tanaman.

Sumber maklumat :

Zainudin Haji Meon, Teknologi Penanaman Buah Naga, MARDI, 2014.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Sila kongsi kepada kawan :