“Gambut Kuning” (Peat Yellow) yang sering berlaku pada sawit di tanah gambut sehingga kini belum ada jawapan yang jelas. Namun, pemerhatian dari tahap nutrein dalam daun didapati kandungan kalium dan kuprum yang lebih rendah manakala kandungan magnesium adalah lebih tinggi pula. Walau bagaimanapun, masalah “Gambut Kuning” belum dipastikan sepenuhnya sebagai akibat daripada kekurangan nutrien.
Ini kerana dalam keadaan normal, daun sawit menunjukkan kandungan kalium yang lebih rendah di sebalik kandungan magnesium yang lebih tinggi. Keadaan ini barangkali menyatakan tahap magnesium yang lebih tinggi itu berkaitan juga dengan tahap nutrien lain.
Secara umum, tahap kuprum dan manganese adalah lebih rendah dalam daun pokok yang menunjukkan masalah “Gambut Kuning”. Jika dilihat dari segi ini, maka boleh dikatakan masalah ini wujud daripada ketidakseimbangan antara nutrien makro dan nutrien mikro seperti kalium, magnesium, kuprum dan zink.
Gejala “Gambut Kuning” yang serius sering disalah fahamkan sebagai gejala kekurangan nutrien magnesium dan kalium. Ketiga – tiga masalah ini menunjukkan warna daun bertukar dari hijau biasa ke hijau pudar kemudian ke warna kuning. Di peringkat serius, daun “Gambut Kuning❞ menunjukkan warna kuning cerah seakan sama dengan daun kekurangan nutrien magnesium yang seterusnya akan layu.
“Gambut Kuning” juga tidak mempunyai tompokan kuning seperti dalam daun kekurangan nutrien kalium yang mana dalam keadaan serius akan menukar ke warna oren gelap. Tidak begitu pula bagi “Gambut Kuning” kerana warna di peringkat serius hanyalah warna kuning oren sahaja.
Gejala Gambut Kuning bermula pada daun baru yang mana garisan putih boleh terdapat pada permukaan daun. Garisan tersebut akan merebak ke hala tengah daun dengan ukuran panjang antara 5 – 8cm. Apabila masa berlalu, gejala ini semakin jelas. Pada pokok sawit muda, keadaan ini akan merebak secara menyeluruh sehingga daun pokok menyerupai pokok berdaun kuning. Bagi daun lama, gejala ini berupa gabungan tompokan kuning pada daun dan warna bahagian atas lebih gelap daripada bahagian bawah daun, kedua – dua bahagian daun tersebut akan layu. Kelayuan daun tentu akan mengurangkan kadar fotosintesis selanjutnya pengeluaran hasil. Pokok yang dijangkiti “Gambut Kuning” ini menunjukkan batang yang lebih kecil serta pertumbuhan kurang normal dengan pelepah yang lebih kecil. Bagaimanapun, tiada kesan kecacatan bentuk diperhatikan pada pokok tersebut.
Kaedah Kawalan
Dengan menokok tambah nutrien kalium akan dapat mengurangkan gejala “Gambut Kuning” di samping berdaya meningkatkan pengeluaran. Selain itu, peningkatan nutrien mikro juga penting. Walaupun kuprum adalah elemen asas bagi tanaman sawit di tanah gambut, tetapi ia kelihatan bukan faktor utama yang menyebabkan “Gambut Kuning”. Begitu juga dengan memperbaiki saliran di lokasi tanah gambut dijangka dapat mengurangkan kebangkitan masalah ini.