You are currently viewing Tong Seng Nursery Membekal Anak Benih Durian Cantuman Bermutu Tinggi

Tong Seng Nursery Membekal Anak Benih Durian Cantuman Bermutu Tinggi

  • Post category:Artikel / Durian

Pada bulan Ogos lalu, kami telah melawati Tong seng Nursery di Karak, Pahang. Pemilik nurseri Sifu Tong memberi penerangan terperinci mengenai pengurusan semaian durian khususnya Musang King di tapak semaian beliau yang seluas 10 ekar. Tong seng Nursery telah ditubuhkan pada tahun 1983 dan merupakan salah sebuah nurseri buah-buahan khususnya durian yang ulung di Malaysia.

Memandangkan tanaman durian kini menjadi sasaran penanaman ramai pengusaha tanaman dalam negara, maka tidak hairanlah kulturan semaian durian adalah bahan utama di nurseri tesebut. Selain Musang King (D197), baka durian lain yang bermutu turut dikultur termasuk Duri Hitam (D200), 101 (D168), D24 (XO) dan Tekka (D160). Inilah 5 baka durian yang digelar super king di Malaysia walaupun tidak dinafikan terdapat banyak baka bermutu lain yang dipercayai akan turut dikenali ramai apabila mendapat hebahan lebih luas pada masa akan datang.

Program lawatan ini bermula daripada jemputan Sifu Tong yang merasai ada keperluan untuk menyebarkan pengetahuan kulturan semaian durian yang relevan kepada pengusaha tanaman supaya mereka memahami dan selanjutnya memperolehi bahan tanaman durian bermutu untuk ditanam di ladang masing-masing. Perkara ini penting kerana hanya semaian yang diurus dengan baik bakal memberi hasil buah sewajarnya.

Bagi pengusaha tanaman yang telah lama berkecimpung di bidang penanaman buah-buahan khususnya, nama Sifu Tong barangkali tidak asing kepada mereka. Beliaulah pelopor dan pengasas semaian durian Musang King setelah beliau memperolehi sion Musang King dari Kelantan pada beberapa dekad lalu kemudian berjaya membuat cantuman pada pokok penanti dan menghasilkan semaian Musang King. Selanjutnya beliau berusaha mengembangkan penanaman Musang King khususnya di daerah Raub-Bentong-Karak.

Kini durian Musang King menjadi raja buah-buahan di Malaysia serta mengharumi nama Malaysia di peringkat global dengan kualiti buah yang amat tinggi itu menyatakan usaha beliau telah membuahkan hasil yang turut memanfaatkan ramai pengusaha tanaman durian dalam negara. Oleh yang demikian, teknik kulturan semaian durian beliau yang mahir tentu akan turut memberi manfaat kepada pengusaha tanaman ini yang bakal memulakan kegiatan penanaman berkenaan.


Pengurusan Tapak Semaian Durian Yang Rapi

Populariti Musang King dan Duri Hitam khususnya bukan sahaja berpunca dari kualiti isi buah yang tinggi, ia juga disebabkan oleh potensi pengeluaran hasil yang menggalakkan. Kedua-dua baka durian ini mempunyai pelepah pokok yang lebih pendek, oleh itu boleh ditanam dengan lebih padat mengikut jarak 25 x 25 kaki malahan ada pengusaha tanaman merapatkan lagi sehingga 21 x 21 kaki yang tetap memperolehi hasil dan kualiti buah yang setimpal. Di samping itu, pengurusan kedua-dua baka ini juga tidak rumit sekali gus meningkatkan kadar sambutannya di kalangan penanam. Sungguhpun begitu, sebaik manapun potensi baka-baka ini, kelestarian tumbesaran dan pengeluaran hasil kelak amat bergantung pada kualiti bahan tanaman yang ditanam di ladang. Secara umum, hanya anak benih yang tulen, sihat dan cergas yang bakal memberi hasil tinggi kepada penanam termasuk tanaman lain.

Pengurusan semaian atau anak benih durian Musang King sebagaimana ditunjukkan oleh Sifu Tong merangkumi satu siri proses termasuk penyediaan biji benih untuk dikultur menjadi pokok penanti, menyemai biji benih, menukar polibeg, membuat cantuman, menukar polibeg besar, membaja, pengairan dan lain-lain lagi.

Permulaannya, biji benih untuk dikultur menjadi pokok penanti diangkut ke tapak semaian dari kilang prosesan durian yang telah mengambil isi buah untuk pembuatan produk durian. Kesemua biji benih ini dituangkan ke dalam tong besar yang bertakung air bersih untuk dicuci. Biji benih yang leper dan tidak normal akan terapung di atas air dan ia disingkirkan manakala biji benih normal yang tenggelam ke dalam air itu diangkat untuk disemaikan kemudian. Menurut Sifu Tong, biji benih durian ini hendaklah berasal dari pokok durian kampung. Semakin tua pokok semakin tinggi kualiti biji benih.


Katanya biji benih ini tidak harus daripada baka durian semasa yang popular di pasaran kerana ia tidak akan membentuk pokok penanti yang baik. Pokok durian kampung dewasa malah yang tua mempunyai sistem akar yang besar serta dengan daya penyesuaian habitat tanah dan rintangan penyakit yang lebih tinggi. Inilah petua penting. Kualiti pokok penanti yang rendah berkemungkinan besar akan menurunkan prestasi pokok durian apabila matang nanti.

Seterusnya sampailah masa untuk menyemai biji benih yang telah dibersihkan itu. la diletakkan di permukaan tanah polibeg kecil dan dikambus dengan selapisan tanah. Biji benih akan bercambah dalam masa dua minggu kemudian bolehlah dipindah tanam ke dalam polibeg hitam bersaiz 7 x 10 inci. Lebih kurang 4 bulan kemudian apabila anak benih sudah mencapai ketinggian lebih kurang 2 kaki, anak benih ini hendaklah dipindah tanam sekali lagi ke polibeg hitam berukuran 12 x 15 inci. Satu bulan kemudian, apabila batang anak benih bersaiz sebesar hujung jari atau ball pen, kerja cantuman dengan sion Musang King boleh dijalankan. Sion yang sihat sama ada Musang King atau Duri Hitam bergantung kepada baka yang ingin dicantumkan dipilih untuk tujuan ini.

Pemindahan anak benih dari polibeg kecil (7 x 10 inci) ke polibeg besar (12 x 15 inci) adalah amalan yang wajib dan penting agar sistem akar anak benih mempunyai ruang secukupnya untuk tumbuh dengan baik serta demi mengelakkan sistem akar bergulung. Saiz polibeg berukuran 12 x 15 inci menyediakan ruang secukupnya untuk anak benih tumbuh sehingga ke ketinggian 4 -5 kaki tanpa menghadapi masalah akar bergulung. Gejala akar bergulung akan memberi impak negatif terhadap prestasi tumbesaran pokok apabila dipindah tanam di ladang. Ketinggian anak pokok di peringkat 4 – 5 kaki iaitu lebih kurang berumur 1 1⁄2 tahun ini jugalah masa yang sesuai untuk dipindah tanam di ladang. Lebih kurang 4 tahun kemudian, anak pokok akan masuk ke peringkat matang dan mula berhasil. Walaupun pokok setinggi 2 kaki juga boleh dipindah tanam di ladang, tetapi pokok yang lebih tinggi dan besar tentu memiliki kadar hidup yang lebih baik.

Sifu Tong mementingkan juga penggunaan tanah yang bersih, gembur dan bebas penyakit untuk mengisi polibeg supaya memupuk pembesaran anak benih. Anak benih yang siap dicantum dengan sion baka Musang King umpamanya, akan diletakkan di tapak semaian yang dinaungi oleh jaring hitam di bahagian bumbung untuk mengurangkan kerosakan anak benih oleh cahaya matahari terik atau hujan lebat. Pengurusan selanjutnya termasuklah pembajaan, pengairan dan kawalan penyakit & perosak mengikut jadual agar anak pokok membesar dalam keadaan paling optimum. Dengan cara ini, anak benih yang dihasilkan adalah lebih sihat dan cergas dan keadaan ini akan meningkatkan kadar hidup pokok apabila dipindah tanam ke ladang.

Menyelesaikan Kekuatiran Penanam Terhadap Masalah Akar Anak Benih Bergulung

Bagi mereka yang menganggap cantuman pokok penanti elok dijalankan di ladang selepas pindah tanam pada akhirnya akan berdepan dengan kadar kematian anak pokok yang lebih tinggi. Langkah ini biasa diambil oleh penanam yang ingin mengelakkan masalah akar anak benih bergulung yang sering wujud dalam konteks tapak semaian. Bagaimanapun, masalah ini telah diselesaikan oleh Sifu Tong melalui penukaran anak benih ke polibeg yang lebih besar.

 

Amalan menanam pokok penanti di ladang kemudian membuat cantuman akhirnya akan mengalami kos yang lebih tinggi. Anak benih yang baru dicantum di kawasan terbuka mudah menghadapi stres, serangan perosak dan penyakit selanjutnya memberi impak negatif. Oleh yang demikian, Sifu Tong lebih mementingkan pendekatan mengkultur anak benih di tapak semaian sehingga ke peringkat umur yang sesuai barulah dipindah tanam ke ladang. Kos operasi dapat dikurangkan dengan cara ini di samping juga dapat menjimat tenaga dan masa untuk menjaga anak-anak benih ini di ladang selama satu tahun.

Lawatan Kebun Durian Dewasa

Setamat sahaja lawatan di tapak semaian, Sifu Tong membawa kami ke sebuah kebun durian dewasa berpuluhan tahun berhampiran yang berada di bawah pengurusan beliau. Pelbagai baka durian bermutu ditanami di situ termasuk Tekka, D24, 101 dan sebagainya. Di situ juga kami berpeluang melihat sepohon pokok durian kampung berumur melebihi 100 tahun dengan batang dan kanopi pokok yang sangat besar. Menurutnya, di musim besar pokok ini malah dapat menghasilkan lebih daripada 1,000 biji durian semusim.

Menggunakan Jarak Tanaman Yang Tepat Untuk Meningkatkan Pulangan Hasil

Satu gejala yang diingatkan oleh Sifu Tong di situ ialah jarak tanaman yang agak besar sehingga 40 kaki menyebabkan banyak ruang kosong wujud di perantaraan pokok. Sifu Tong telah menanam anak pokok Musang King di situ supaya tidak membazirkan ruang yang ada. Katanya, jarak tanaman yang besar ini berpunca daripada cadangan oleh penyelidikan dahulu yang mungkin berdasarkan kajian ke atas baka pokok kampung atau semi kampung yang mempunyai saiz pokok dan kanopi yang besar. Katanya, bagi baka durian terkini jarak tanaman sekadar 25 x 25 kaki sudah memadai kerana baka durian cantuman bersaiz lebih kecil jika dibandingkan dengan baka durian kampung. Dengan menggunakan jarak tanaman yang lebih rapat akan meningkatkan jumlah pokok per unit kawasan selanjutnya meningkatkan hasil dan pulangan.


Pokok Durian Bersistem Akar Dua Atau Tiga Lebih Baik ?

Persoalan kedua yang ditimbulkan pada masa sama ialah adakah perlu untuk yang menggunakan bahan tanaman bersistem akar dua atau tiga melalui gabungan dua atau tiga pokok penanti. Perkara ini dibangkitkan memandangkan sesetengah pokok durian di kebun ini mempunyai dua batang pokok. Seperti yang dilihat, gaya pertumbuhan dan prestasi pokok-pokok ini tiada keunikan berbanding dengan pokok durian biasa menyatakan tiada kelebihan sebenarnya bagi pokok bersistem akar yang banyak walaupun tidak dinafikan ia mungkin membawa manfaat di peringkat belum matang dalam memperkasakan tumbesaran. Namun begitu, kelebihan ini tidak berlanjutan iaitu nampaknya tidak menjana hasil yang lebih banyak daripada pokok biasa.

Merealisasikan Satu Pokok Banyak Baka

Di kebun ini juga, satu panorama yang unik juga diperhatikan iaitu satu pokok mempunyai beberapa baka dengan ertikata lain, ujian seperti ini telah dimulakan oleh Sifu Tong dan rakan-rakan pada puluhan tahun lalu dengan mencantumkan dua baka pada satu pokok membolehkan pokok tersebut mengeluarkan dua jenis durian seperti D24 di dahan bawahan diikuti oleh satu baka lain di dahan atasan. Dari sini jelas bahawa pokok durian memang boleh dibuat sebegini dengan kadar kejayaan yang agak tinggi.

Akhir sekali beliau berpendapat bahawa pandangan yang berkehendakkan satu ladang yang sama ditanami dengan beberapa baka berlainan untuk memperolehi kadar pendebungaan dan pengeluaran hasil yang baik adalah kurang memadai baginya terutama bagi baka Musang King. Menurutnya, sebuah kebun durian Musang King berumur 28 tahun di Sg. Klau, pahang telah ditanami dengan 99% pokok Musang King dan 1% D24 tetapi tetap berjaya menghasilkan buah durian yang banyak serta bermutu. Oleh itu beliau menganggap pandangan ini lebih bersifat akademik yang walaupun tidak boleh dipersalahkan, namun perspektif seumpama ini kelihatan berbeza dengan keadaan realiti. Lagipun, campuran baka di ladang yang sama berkemungkinan besar akan menghasilkan buah durian yang kurang tulen. Umpamanya biji buah durian Musang King yang ada kalanya besar dikatakannya adalah salah satu contoh akibat daripada pencemaran baka melalui penerimaaan debunga dari baka lain yang kurang bermutu.

Sebelum menamatkan perbincangan, Sifu Tong menegaskan penerapan agronomi bersifat organik lebih diutamakan oleh beliau dalam pengurusan ladang durian. Misalnya beliau akan mengelak daripada penyemburan racun rumpai, mengurangkan penggunaan baja kimia dan racun serangga sebaliknya menggalak penggunaan baja organik serta input pertanian yang lebih mesra alam. Walaupun pengurangan dalam menggunakan racun serangga sedikit sebanyak akan mempengaruhi nilai kosmetik buah tetapi cita rasa buah tetap selesa malah lebih baik lagi daripada buah yang diaplikasikan dengan racun serangga. Katanya, dengan menjana asap di ladang melalui pembakaran rumpun daun-daun kering juga membawa kesan menghalau serangga perosak.

Akhir kata, beliau berharap penyampaian informasi di atas ini dapat memanfaatkan para penanam durian. Baginya, penanaman durian kini menampilkan prospek yang sangat cerah, oleh yang demikian, pengongsian pengalaman amat penting supaya industri ini dapat diperkasakan ke tahap lebih tinggi lagi di masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Sifu Tong di talian 019-281 5965