You are currently viewing Faktor Yang Mempengaruhi Pembentukan Buah Tandan Sawit Dan Implikasi

Faktor Yang Mempengaruhi Pembentukan Buah Tandan Sawit Dan Implikasi

Buah tandan sawit merupakan hasil terpenting dalam penanaman sawit. Dalam aspek ini, bilangan dan berat buah tandan serta kandungan minyaknya akan menentukan pendapatan pengusaha tanaman. Oleh yang demikian, aspek pembentukan buah tandan sawit adalah perkara penting untuk ditelitikan supaya ladang sentiasa mengeluarkan hasil sewajarnya dan memberi pulangan lumayan.

Jumlah pengeluaran buah tandan amnya akan menentukan jumlah hasil sawit menandakan semakin banyak buah tandan dihasilkan maka jumlah hasil sawit akan meningkat. Maka itu, pemupukan buah tandan yang banyak adalah syarat penting untuk mendapat hasil sawit yang tinggi.

Pembentukan dan pengeluaran buah sawit dipengaruhi oleh beberapa faktor. Dari segi bilangan buah tandan sawit, didapati 4 faktor mempengaruhinya iaitu nisbah jantina bunga, kadar pengeluaran daun, kadar keguguran bunga dan kadar kegagalan buah tandan.

Pengaruh Nisbah Jantina Bunga

Buah tandan sawit berasal dari bunga betina. Selepas pendebungaan, buah tandan akan terbentuk. Lebih kurang 5 bulan kemudian, buah tandan akan matang untuk dituai. Oleh yang demikian, bunga betina amat penting dalam aspek ini. Bagaimanapun, pokok sawit mempunyai corak pembungaan tersendiri iaitu ada kala mengeluarkan bunga jantan dan ada kala bunga betina. Keadaan ini disebabkan oleh faktor genetik pokok. Ada kala pula menghasilkan bunga dwi-jantina (hermaphrodite flower) tetapi kadarnya tidak akan melebihi 20%.

Memandangkan pokok sawit adalah tanaman berbuah sepanjang tahun, maka kadar bunga jantannya secara genetik adalah lebih rendah daripada kadar pengeluaran bunga betina. Sekiranya kadar bunga jantan didapati banyak dalam seketika waktu, ia menandakan suatu kesan negatif telah berlaku seawal 20 bulan sebelumnya iaitu semasa bunga berada di peringkat penentuan jantina (sex differentiation) yang mana pengaruh faktor-faktor tertentu seperti musim kering, kekurangan air, kekurangan baja malah lebihan pangkasan pelepah telah berlaku menyebabkan bunga jantan terjadi.

Jantina bunga sawit hanya ditentukan di peringkat penentuan jantina. Faktor-faktor kurang memadai yang telah berlaku pada ketika itu akan menyebabkan pembentukan bunga jantan. Sebagai contoh, jika tanaman sawit dibekalkan air, nutrien, cahaya matahari yang diperlukan serta amalan agronomi lain dengan baik pada sekarang, maka hasil sawit diyakini akan berada pada tahap memuaskan pada 20 bulan kemudian. Dengan kata lain, nisbah jantina bunga (iaitu peratusan bunga betina dalam keseluruhan bunga terbentuk) yang lebih tinggi akan menghasilkan jumlah buah tandan yang lebih lumayan sekiranya kesemuanya berjaya membentuk buah tandan ke peringkat matang.

Menurut sumber, nisbah jantina bunga sawit juga dipengaruhi oleh umur pokok. Didapati tanaman sawit muda di kawasan pesisir pantai Malaysia mempunyai nisbah jantina bunga yang lebih tinggi. Umpamanya, pokok sawit berumur 4 tahun selepas ditanam mempunyai nisbah tersebut di paras 90% berbanding pokok berumur 15 tahun selepas ditanam di paras 60% sahaja. Di kawasan pedalaman pula, pokok sawit berumur 3 tahun selepas ditanam menunjukkan nisbah jantina bunga 70% manakala pokok berumur 15 tahun selepas ditanam pada nisbah 47%.

Keadaan ini justeru menerangkan hasil sawit selalu lebih tinggi di kawasan pesisir pantai berbanding kawasan pedalaman ekoran nisbah jantina bunga yang lebih tinggi. Namun begitu, perkara ini juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti kesuburan tanah, taburan hujan dan sebagainya yang boleh berbeza di antara kedua-dua zon penanaman ini. Tidak kira apa jua kawasan penanaman, selagi pokok mengalami stres termasuk kekurangan air, baja dan sebagainya, bunga betina boleh gagal di tengah jalan dan keadaan ini tentu satu kerugian kepada penanam kerana buah tandan tidak akan terjadi. Gejala ini difahamkan sebagai keguguran bunga betina sawit.

Pengaruh Kadar Pengeluaran Daun

Selain pengaruh nisbah jantina bunga, kadar pengeluaran daun (pelepah) juga mempengaruhi bilangan buah tandan sawit. Pokok sawit belum matang akan menghasilkan 3 batang pelepah setiap bulan sehingga 30 batang pelepah setahun. Apabila pokok sudah matang, pengeluaran pelepah akan berkurangan kemudian stabil pada umur 10 – 12 tahun selepas ditanam dengan pengeluaran purata 2 pelepah sebulan, iaitu 18 – 24 pelepah setahun. Pengeluaran bunga dan pelepah berlaku pada masa yang sama serta dengan kelajuan setimpal. Dengan kata lain, pokok sawit matang sepatutnya menghasilkan 18 – 24 bunga serta berimplikasi penghasilan 18 – 24 buah tandan setahun. Bagimanapun, disebabkan oleh bunga yang terbentuk itu juga termasuk bunga jantan dan bunga dwi-jantina, maka penghasilan buah tandan sepohon pokok sebenarnya akan kurang daripada 18 – 24 tandan setahun.

 

Namun begitu, mengikut sumber, pokok sawit berumur 5 tahun selepas ditanam pernah dilaporkan mengeluarkan sebanyak 28 buah tandan setahun. Sehubungan dengan aspek ini, kadar pengeluaran pelepah ada kala lebih lambat ekoran kesan agro-iklim yang kurang memadai umpamanya musim kering yang ketara ataupun amalan agronomi yang kurang memuaskan. Sekiranya gangguan seperti ini dapat dikurangkan, maka pokok sawit akan memberi hasil buah tandan sewajarnya.

Keadaan ini akan tercapai sekiranya dalam tempoh lebih kurang 30 bulan bermula inisiasi bunga sehingga berjaya membentuk buah tandan untuk dikutip itu tidak mengalami gangguan negatif dari aspek penerimaan cahaya matahari, baja, air dan sebagainya. Buah tandan sawit juga boleh gagal terbentuk ke peringkat akhir menyebabkan buah tandan kehilangan nilai ekonomi. Inilah dikenali sebagai gejala kegagalan buah tandan yang boleh berlaku jika masalah keperluan pokok menghadapi sekatan.

Berpandukan pemahaman ini, sesetengah faktor luaran yang boleh mengganggu pengeluaran buah tandan sawit dapat ditangani dengan amalan agronomi yang lebih cekap, umpamanya pembajaan bersesuaian dengan keperluan pokok, pemberian air secukupnya, kepadatan tanaman yang sesuai, pangkasan pelepah tidak berlebihan, pemeliharaan tanah dengan baik dan sebagainya akan mengurangkan gejala stres pokok selanjutnya memacunya untuk pengeluaran buah tandan sewajarnya.

Jika setiap pokok sawit matang boleh menghasilkan 12 buah tandan segar setahun dengan purata 20kg setandan serta dengan andaian 148 pokok sehektar ditanamkan, maka hasil sawit yang akan diperolehi ialah 35 tan/ha/tahun. Pencapaian ini agak lumrah di kalangan penanam dalam negara terutama di kawasan penanaman yang mempunyai agro-iklim yang baik diikuti dengan amalan agronomi yang cekap.

Sumber maklumat :

1. Ng Siew Kee, Helmut von Uexkull and Rolf Hardter, “Botanical Aspects of the Oil Palm Relevant to Crop Management”, Oil Palm : Management for Large and Sustainable Yields, Editors Thomas Fairhurst and Rolf Hardter, PPI, PPIC and IPI, 2003.

2. R.H.V.Corley and P.B.Tinker, “The Classification and Morphology of the Oil Palm”, “Growth, flowering and Yield”, The Oil Palm, 4th Edition, Blackwell Science Ltd, 2003.

3. R.H.V.Corley and B.S.Gray, “Yield And Yield Components”, Oil Palm Research, Editors, R.H.V.Corley, J.J.Hardon and B.J. Wood, Elsevier Scientific Publishing Co., 1976.

4. Mohd Hanif Harun and Mohd Roslan Md Noor, ” Fruit Set And Oil Palm Bunch Components “, Journal Of Oil Palm Research Vol. 14 No. 2, December 2002.

5. Mohd Roslan Md Noor dan Mohd Hanif Harun, “Botani Sawit”, “Fisiologi Sawit”, Perusahaan Sawit Di Malaysia; Satu Panduan, Penyunting Esnan Ab.Ghani, Zin Zawawi Zakaria, Mohd Basri Wahid, MPOB, 2004.

Hantar blog ini kepada :