You are currently viewing MARDI Memperkenalkan Varieti Keledek Ungu Anggun

MARDI Memperkenalkan Varieti Keledek Ungu Anggun

Ubi keledek ungu mendapat perhatian umum pada tahun-tahun kebelekangan ini kerana ia merupakan varieti baru yang lain daripada varieti sebelumnya. Warna ubi yang ungu memberi imej baru dan menjadi tarikan utama kepada peminat. Sememangnya, warna ungu ini adalah pigmen yang menunjukkan ia mengandungi bahan antioksidan dikenali sebagai antosianin yang memanfaatkan kesihatan badan manusia.

Berikutan kejayaan MARDI membangun dan memperkenalkan varieiti ubi keledek ungu Anggun 1, 2 dan 3 sebagaimana nama diberikan pada bulan September 2017 lalu, pengusaha tanaman dan juga pengguna akan dapat mencebur ke bidang penanaman tersebut di samping berpelung menikmatinya dalam masa tersingkat. Anggun adalah nama singkat bagi antosianin (An), ungu (ggu) dan nutrisi (n).

Kata saintis MARDI, Nurul Afza Karim bahawa penyelidikan varieti ubi keledek ungu Anggun telah bemula sejak tahun 2011 hingga 2015 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membangunkan sumber makanan berkhasiat tinggi serta selamat dimakan kepada rakyat. Projek penyelidikan ini bermula dengan pemilihan beberapa varieti keledek ungu (Keledek Ungu 2, Keledek Ungu 5 dan Keledek Ungu 6) yang diperolehi dari beberapa tempat di Malaysia kemudian dibiak, disaring dan dinilai dalam beberapa pusingan penilaian untuk memastikan nilai pemakanan serta potensi pasaran.

Bertolak daripada situ, tiga varieti telah dikenal pasti mengandungi nilai khasiat dan potensi hasil yang wajar di samping kesesuaian ketiga-tiga varieti ini untuk ditanam dalam pelbagai persekitaran berbeza. Ujian penanaman dijalankan secara skala besar di beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan, Selangor, Pahang, Perak dan juga Selangor. Berbeza dengan ubi keledek ungu varieti lain, keledek ungu Anggun 1, 2 dan 3 mengandungi bahan antosianin yang tinggi.

Dari kajian tersebut, Keledek Ungu Anggun didapati mudah hidup walaupun ditanam pada tanah kurang subur di samping mempunyai daya rintangan penyakit yang tinggi jika amalan pertanian baik digunakan. Sebuhungan itu, saintis MARDI Rosnani Abd Ghani berkata, Keledek Ungu Anggun boleh dituai dalam masa lebih singkat daripada varieti lain, iaitu antara 3 – 4 bulan iaitu lebih kurang satu bulan lebih awal berbanding sesetengah varieti lain.

Selain itu, ia juga memberi hasil antara 20 – 30 tan/ha/musim menandakan ia adalah varieti berhasil tinggi. Bagaimanapun, demi melestarikan prestasi tanaman Keledek Ungu Anggun di ladang, bahan tanaman yang sihat hendaklah digunakan iaitu keratan batang pokok berumur 2 – 3 bulan hendaklah dipilih bukan sahaja kerana ia memberi rintangan lebih tinggi terhadap serangan penyakit, malah anak benih di peringkat umur ini dapat memupuk tumbesaran tanaman dengan lebih baik.

Dengan jumlah pengeluaran hasil ini, dijangka petani dapat memperolehi jumlah pendapatan kasar sebanyak RM60,000/ha/musim berdasarkan harga jualan pasaran RM2.50 sekilo berbanding modal setakat RM20,000/ha/musim memandangkan input pertanian yang diperlukan untuk tanaman ini adalah rendah

Daripada segi potensi pasaran, saintis MARDI Dr. Faridah berkata, pembangunan produk berasaskan varieti keledek ini adalah penting kerana pasaran segar untuk keledek dalam negara adalah kecil biarpun ia telah digunakan dalam industri pembuatan makanan tradisional seperti kerepek dan kuih-muih.

Oleh yang demikian, beberapa produk hiliran berkenaan telah dibangunkan oleh MARDI di bawah RM-10 termasuk sapuan keledek ungu dan minuman pra campuran. Usaha mempelbagaikan produk hiliran Keledek Ungu Anggun akan diteruskan dalam RM-11 untuk menghasilkan aiskrim, gula-gula, sos, donut, french fries, cakar ayam dan sebagainya supaya membesarkan potensi pasaran untuk kebaikan para petani yang menceburi ke bidang penanaman tersebut.

Hantar blog ini kepada :