You are currently viewing Industri Gaharu Diperkasakan Melalui Penerapan Sains, Teknologi dan Inovasi

Industri Gaharu Diperkasakan Melalui Penerapan Sains, Teknologi dan Inovasi

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Di sebalik kehangatan tanaman durian buat masa ini, tanaman karas (Aquilaria) kelihatan telah hilang tarikan dalam negara memandangkan ia semakin kurang dibicarakan di kalangan pengusaha tanaman. Beberapa tahun lalu, tanaman ini pernah dikejari’ oleh mereka sehingga anak benih karas berhadapan dengan permintaan yang tinggi di pasaran. Kekurangan tarikannya pada masa ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, di antaranya ialah kurangnya kejayaan di kalangan para pengusaha tanaman ini dalam memperolehi gaharu bermutu ekoran kekurangan teknik inokulasi yang terbukti berkesan.

Justeru itu, ramai pengusaha tanaman sama ada mengenepikan minat ini sama sekali atau buat sementara dengan memindah kepada penanaman lain yang lebih menjamin masa hadapan. Pada hakikat, keputusan ini mungkin tidak kena tempatnya kerana tanaman ini sebenarnya berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan lumayan kepada pengusaha tanaman ini memandangkan kayu gaharu atau teras bermutu tinggi mampu dijual dengan harga RM15,000/kg manakala yang kurang bermutu dijual tidak melebihi RM50/kg. Persoalannya ialah apakah teknik inokulasi termasuk agen inokulasi yang patut digunakan supaya dapat menghasilkan gaharu bermutu dalam pokok karas ?


Nuclear Malaysia Menjalankan R & D Gaharu

Analisis yang dijalankan terhadap unsur-unsur terkandung di dalam gaharu telah mendapati ia merupakan gabungan pelbagai elemen yang dihasilkan oleh pokok karas dengan tujuan melindungi sel pokok daripada kerosakan lanjutan serta untuk memulihkan kerosakan yang telah wujud di dalam pokok sama ada oleh mikrob ataupun oleh kuasa fizikal daripada manusia, perosak ataupun fenomena semula jadi seperti kilat petir.


Dengan kata lain, pokok karas yang sihat di hutan belantara tidak juga menghasilkan gaharu di dalam pokok. Oleh yang demikian, keadaan ini telah membangkitkan teknik inokulasi iaitu satu kaedah mengenakan kerosakan fizikal terhadap pokok karas kemudian memasukkan bahan inokulasi bersifat cecair sebagai kaedah perangsangan pembentukan gaharu. Teknik ini telah diusahakan oleh pihak agensi kerajaan khususnya Nuclear Malaysia iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dan juga syarikat swasta dengan mencapai kejayaan tertentu.

Usaha tersebut diambil dengan tujuan membantu pengusaha di bidang ini membangunkan industri gaharu dengan kaedah saintifik. Ini termasuk kultur anak benih, penanaman di ladang, inokulasi, kutipan hasil serta proses pengeluaran minyak gaharu secara komersial supaya tidak bergantung pada sumber daripada hutan yang mana pokok-pokok karas di situ sebenarnya telah dieksplotasikan secara haram sehingga merosakkan biodiversiti dalam hutan.

Menurut data National Forest Inventory (IHN-4) 2002-2004, pokok karas yang kekal di Semenanjung Malaysia hanya 3.55 juta batang pokok sahaja iaitu satu paras yang rendah justeru ia telah diistiharkan sebagai spesies tumbuhan di bawah pelindungan CITES. Sehingga akhir tahun 2012, rekod daripada Jabatan Perhutanan menunjukkan keluasan tanaman karas komersial di Semenanjung Malaysia adalah 1927.28 hektar. Walaupun ini satu titik tolak yang baik, tetapi keluasan ini sebenarnya masih kecil lagi untuk memberi sumbangan signifikan terhadap industri tersebut.

Pendekatan Saintifik Digunakan

Memandangkan industri gaharu ini memerlukan penerokaan secara saintifik supaya mengurangkan kekaburan yang wujud dalam pelbagai aspek berkaitan dengannya, umpamanya penilaian kuantiti dan kualiti minyak gaharu terkandung di dalam kayu gaharu atau teras, kapasiti penjanaan gaharu yang lebi tepat dan sebagainya, maka Nuklear Malaysia telah menjalankan kajian terhadap industri huluan dan hiliran gaharu sejak tahun 2003. la membuahkan hasil apabila satu pakaj teknologi telah berjaya dibangunkan.

Teknologi Baru Membawa Manfaat Besar

Salah satu teknologi yang telah dibangunkan itu ialah teknik perangsangan gaharu di dalam pokok karas, iaitu satu bidang yang sekian lama membelenggui industri ini untuk maju ke hadapan kini dapat dimanfaatkan oleh peminat dalam industri ini.

Teknologi yang dibangunkan oleh Nuklear Malaysia bersama pihak bekerjasama dengannya itu telah dieksperimen dan dinilai terhadap beberapa spesies Aquilaria yang penting di Malaysia seperti A. Malaccensis, A. Crassna, A. Subintegra dan A. Hirta. A. Beccariana iaitu satu spesies Aquilaria berasal dari Borneo akan juga dikaji dan dinilai berikutan. Kualiti resin gaharu yang dihasilkan dengan teknologi ini telah dianalisis dan disokong oleh data saintifik.

Dalam konteks ini, Nuklear Malaysia telah pun membangunkan kit pengesan kualiti minyak gaharu untuk kegunaan di lapangan iaitu sejenis bahan kimia yang akan bertindak balas dengan minyak gaharu, dan ketulenan minyak dapat dikenal pasti melalui pertukaran warna dalam proses tindak balas tersebut. Tambahan, agensi ini juga telah menghasilkan agen inokulasi yang berkesan untuk menggalak pembentukan gaharu di dalam pokok karas.
1,2,3-Teras gaharu terbentuk dalam pokok karas.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Simple Farm Sdn Bhd
Tel : 011-10709708 / 012-7699702
E-mail : mrbanana@simple-farm.com

Website: www.mrbanana.com.my

Tiga Jenis Perangsang Gaharu

Secara amnya, agen penggalak gaharu boleh berasaskan mikrobial, bahan kimia ataupun enzim yang mana setiap satu mempunyai mekanisme perangsangan gaharu yang berbeza walaupun dengan tujuan akhir yang sama. Bagi kaedah penggunaan mikrobial, ia sebenarnya sejenis cecair yang mengandungi mikrob yang mana apabila ia disuntik ke dalam pokok karas akan membiak dan memasuki ke dalam dinding sel pokok, Selanjutnya, rangsangan penghasilan gaharu oleh pokok akan bermula untuk melindungi serangan lanjutan oleh mikrob di dalam.

Kaedah penggunaan bahan kimia sebagai agen penggalak pula adalah bahan bukan mikrobial sebaliknya merupakan merupakan bahan untuk menarik kedatangan kehidupan kecil seperti semut, cacing malah mikroorganisme supaya menetap menetap dan membiak di dalam pokok karas yang sudah ditebuk lubang dan disuntik masuk bahan kimia tersebut. Pokok karas akan menghasilkan gaharu dalam keadaan ini untuk tujuan pelindungan daripada serangan lanjutan ke atas selnya.

Sehubungan itu, kaedah penggunaan enzim pula merupakan sejenis bahan disuntik ke dalam dengan tujuan melemahkan selulos atau lignin dalam dinding sel pokok dan keadaan ini akan merangsang pengeluaran gaharu oleh pokok atas sebab yang
sama.

Melalui kajian, Nuklear Malaysia telah membangunkan agen penggalak gaharu dengan kaedah penggunaan mikrobial yang mampu menghasilkan gred gaharu yang sesuai diproses untuk mendapatkan minyak gaharu melalui proses penyulingan. Bagaimanapun, gred gaharu yang dihasilkan ini tidak dapat menandingi agen penggalak versi terbaru yang dikatakan dapat menghasilkan gaharu gred “wood chip” yang lebih tinggi nilainya.

Kaedah Baru Meningkatkan Produktiviti Gaharu

Dalam usaha ini, Nuklear Malaysia sebenarnya telah membuat beberapa eksperimen dan penilaian di ladang karas. Eksperimen pertama dijalankan di ladang karasnya (Nuclear Malaysia MINT-Tech Park Complex) terletak di Jalan Dengkil. Lebih kurang 40 pokok karas berukur lilit melebihi 30cm (ukuran diambil di bahagian 1m dari permukaan tanah). Selepas 12 bulan, pokok karas telah membentuk gaharu di dalamnya. Lebih-lebih lagi hampir 100% pokok yang dirawat dengan bahan mikrobial itu berjaya menghasilkan gaharu serta dengan kuantiti yang dapat dijangkakan kerana proses pengeluaran tersebut adalah konsisten.

Melalui cara ini, masa pembentukan gaharu telah dipendekkan kepada 1 – 2 tahun berbanding pokok karas hutan yang mengambil di antara 10 – 20 tahun dengan kuantiti yang amnya sedikit sahaja. Selain itu, teknik baru ini juga berupaya menjana gaharu sehingga 80% dalam keseluruhan pokok termasuk batang dan juga dahan dengan cara inokulasi berbanding pokok karas hutan yang hanya membentuk gaharu di bahagian spesifik iaitu bahagian tercedera sahaja dengan rangkuman kurang daripada 10% dalam keseluruhan pokok.


Kesimpulan

Sebagai akhir kata, gaharu dan minyak gaharu berpotensi tinggi di pasaran Timur Tengah, China, Taiwan, Jepun dan Korea kerana kaharuman yang unik dan kewangian yang pekat serta tahan lama menjadikan ia digemari untuk digunakan sebagai minyak asas dalam industri pengeluaran produk wangian, aromatik, penjagaan diri dan sebagainya. Lantaran itu, industri ini didapati berdaya maju untuk dijadikan komoditi baru Malaysia supaya bakal memberi sumbangan besar kepada ekenomi negara.

Dengan wujudnya teknologi baru di bidang ini atas usaha daripada R & D Nuclear Malaysia serta pihak yang bekerjasama dengannya, para pemain dan juga peminat dalam industri gaharu akan dimanfaatkan. Teknologi yang dibangunkan ini adalah berasaskan situasi tempatan iaitu kajian dijalankan ke atas spesies karas tempatan.

Justeru itu, teknologi serta produk yang dibangunkan akan memberi hasil lebih realistik dan tepat berbanding banyak teknologi dan produk perangsangan gaharu di pasaran pada masa ini dan sebelumnya adalah diimport dari luar negara seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan USA yang tidak diuji secara intensif ke atas spesies karas tempatan sehingga hasil atau kesannya kurang diketahui. Untuk maklumat lanjut sila layari web rasmi Nuclear Malaysia.

 

Bahan rujukan :

Khairuddin Abdul Rahim, Mat Rasol Awang and Rusli Ibrahim (Editors), Transforming Malaysian Gaharu Industry with Science, Technology and Innovation, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015.

 

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Sila kongsi kepada kawan :