You are currently viewing Pengalaman Menanam Durian

Pengalaman Menanam Durian

Penjagaan kebun durian melibatkan beberapa amalan penting agar pokok dapat terus berbuah dengan baik pada musim pembuahan. Sesungguhnya, di kalangan pekebun durian terdapat pelbagai amalan kultur yang berbeza. Keadaan ini adalah biasa kerana alam sekitaran penanaman adalah berbeza di antara kawasan termasuk sifat tanah, topografi, cuaca setempat dan sebagainya. Oleh yang demikian, selagi tanaman durian dapat memberi hasil buah yang setimpal dengan usaha dan perbelanjaan yang dicurahkan, maka itulah cara yang dikira sesuai untuk tanaman durian.


Mengetahui Sifat Baka Durian

Dalam aspek ini, adalah penting untuk mengetahui terlebih dahulu iaitu sebelum penanaman di kebun mengenai sifat baka durian yang akan ditanam. Hal ini termasuklah saiz pokok dan juga saiz kanopi. Seterusnya tempoh kematangan buah sama ada jenis awal ataupun jenis lambat elok juga diketahui sebelum itu.

  

Ini disebabkan oleh penanaman dengan menggunakan baka-baka campuran di kawasan yang sama adalah digalakkan, justeru itu tempoh kematangan buah satu baka lebih awal dan satu lagi lewat sedikit adalah kombinasi yang lebih baik supaya tempoh kutipan hasil dapat dipanjangkan untuk mendapat harga pasaran dan pulangan yang lebih baik.

Mengenai saiz pokok dan juga saiz kanopi pokok, pengetahuan terhadapnya membolehkan pekebun menggunakan jarak tanaman yang sesuai supaya pokok tidak terlalu dekat di antara satu sama lain apabila matang nanti. Umpamanya pokok durian Kradum-thong di Thailand yang ditanam dengan jarak 10 meter telah didapati terlalu rapat dan disarankan jarak tanaman 14 meter adalah lebih sesuai. Durian baka Chanee pula sesuai pada jarak tanaman 10m x 10m. Senario seumpama ini boleh berulang di negara kita memandangkan baka-baka durian yang ada adalah berbeza dari segi saiz serta banyak aspek yang lain.


3 Pusingan Pembajaan

Seterusnya aspek pembajaan turut diutamakan dalam amalan mereka yang ingin mendapat hasil lumayan. Amalan pembajaan yang diterapkan ialah memberikan pokok dengan baja seperti 16/20/0 pada kadar 5-6kg/pokok pada masa setamat sahaja kutipan hasil buah dengan tujuan memulihara kecergasan pokok. Sekiranya pokok kelihatan masih tidak cergas selepas pembajaan ini, baja foliar jenis urea dalam bentuk cecair bolehlah disembur pada pokok. Tunas baru akan tumbuh selepas pembajaan tersebut dan apabila tunas baru menjadi matang, inilah masanya untuk menjalankan pembajaan kali kedua dengan menggunakan baja potassium sulfate pada kadar 2.5kg/pokok 2.5kg/pokok dengan tujuan merangsang pengeluaran tunas bunga.

Pembajaan kali ketiga hendaklah dijalankan semasa putik buah bersaiz seperti buah pinang dengan memberi baja 12/12/17/2 pada kadar 3kg/pokok supaya memupuk kadar pengekalan dan pembentukan buah yang baik.


Mengelak Jangkitan Penyakit

Penyakit P. palmivora yang juga dikenali sebagai stem canker disease adalah penyakit utama pokok durian. Kulat penyakit ini menyerang seluruh bahagian pokok termasuk buah, bagaimanapun serangan terhadap batang pokok yang membawa kerosakan paling tinggi terhadap pokok. Antara kaedah kawalan penyakit ini di kebun adalah memastikan kebun bebas daripada takungan air. Penyakit ini selalu bangkit pada hujung musim hujan iaitu ketika kadar takungan air di kebun biasanya lebih tinggi daripada hari biasa.

Langkah kawalan seterusnya melibatkan kawalan rumpai di kebun supaya dijalankan dengan baik khususnya semasa penghujung musim hujan supaya mempercepatkan sejatan kelembapan tanah seterusnya menjadi tanah kering lebih cepat demi merangsang pembungaan lebih awal.

Terdapat juga saranan untuk membuangkan kulit luar batang pokok setinggi satu meter dari paras permukaan tanah. Tempat tanggalan kulit itu kemudian disemburi dengan larutan Ridomil 300 gram yang telah dibancuhkan dengan air. Larutan ini juga disiramkan di bawah kanopi pokok. Selain itu, amalan kawalan serangga perosak hendaklah dijalankan dengan rapi kerana pokok durian adalah perumah kepada banyak spesies serangga.

Pangkasan dan Penjarangan Buah

Pangkasan juga disyorkan selepas tamat pungutan hasil buah kemudian diteruskan selepas pembajaan kali pertama itu. Ranting-ranting yang telah diserang oleh perosak ataupun penyakit hendaklah dibuang. Ranting tersebut dikehendaki dipotong di tempat paling dekat dengan dahan atau batang pokok. Tempat potongan itu kemudian disapu dengan Cupravit untuk mengawalnya daripada apa jua jangkitan atau serangan selanjutnya.

Untuk mendapat hasil buah yang berkualiti serta memperolehi kebaikan lain yang berkenaan dalam aspek ini, penjarangan buah kecil yang tumbuh melebihi had sepatutnya hendaklah dibuang, begitu juga dengan bunga terlalu rimbun turut dijarangkan kerana pokok durian mempunyai had pembuahan optimum menurut usia pokok. Umpamanya pokok berumur 10 tahun amnya menjana lebih kurang 50 biji buah semusim. Jika didapati jumlah buah di pokok itu melebihi 200 biji, maka sebahagian buah kecil hendaklah disingkirkan daripada pokok.

Amalan penjarangan buah dan pangkasan bunga merupakan teknik yang perlu dimahiri sebelum diterapkan kerana ia mempunyai prinsip amalan tertentu. Umpamanya buah kecil di hujung-hujung ranting kecil biasanya boleh dibuang dalam amalan penjarangan buah di atas pokok. Namun demikian, amalan ini kelihatan jarang dipraktikkan di Malaysia tetapi adalah amalan yang popular di negara Thailand yang mana buah durian di situ lebih berorientasikan pasaran eksport justeru saiz buah hendaklah dalam bentuk konsisten dan seragam yang boleh diperolehi melalui amalan penjarangan buah.