You are currently viewing Jom! Ke arah Pertanian Organik

Jom! Ke arah Pertanian Organik

Pertanian organik khususnya penanaman sayuran tetap memerlukan infrastruktur supaya kerja dapat dilaksanakan dengan baik, umpamanya kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan ladang, stor dan jentera mesti disediakan. Tapak semaian kecil juga dikehendaki bagi membekal bahan tanaman untuk ditanam di ladang. Hasil tanaman yang sudah dituai pula memerlukan kemudahan pembersihan, pengasingan dan pembungkusan. Ada kala bilik sejuk juga diperlukan jika ladang terletak jauh dari pasar.

Pertanian organik mementingkan kitaran biojisim ke dalam tanah. Dalam aspek ini, sisa dan baki tanaman boleh dijadikan kompos untuk dibekalkan kepada tanaman. Oleh itu, tempat pengomposan dan juga simpanan kompos tidak kurang pentingnya di ladang organik. Begitu juga dengan pengumpulan dan penyimpanan sumber air dari hujan juga hendaklah diusahakan untuk mengairi tanaman.

Walaupun penanaman sayur-sayuran organik boleh dijalankan di kawasan terbuka, tetapi struktur pelindung hujan wujud sebagai kaedah penanaman yang lebih baik untuk pelbagai jenis sayuran khususnya sawi, brokoli, kubis bunga dan kubis yang sudah terbukti memberi hasil yang tinggi di bawah struktur pelindung hujan. Maka itu bagi mereka yang ingin mendapat prestasi hasil yang baik, struktur seumpama ini perlu dibina terlebih dahulu. Tambahan, tanaman sayuran yang diusahakan di bawah struktur pelindung hujan dapat mengurangkan kadar serangan serangga perosak malahan jangkitan penyakit. Bagaimanapun, serangan penyakit masih perlu diawasi melalui pengamalan penanaman giliran serta pelbagaian sayuran yang ditanam.

Pemasaran sayuran organik juga salah satu perkara yang perlu ditelitikan sebelum memulakan penanaman. Ini kerana sayuran organik amnya untuk pasaran nic yang mana juga dijual dengan harga lebih tinggi daripada sayuran biasa. Oleh yang demikian, pasaran untuk hasil pertanian ini elok diketahui dan dikenal pasti terlebih dahulu supaya pemasaran boleh dijalankan terus selepas penuaian hasil.

Penanaman sayuran organik memerlukan tenaga kerja yang lebih tinggi dari segi kawalan rumpai dan juga pembajaan. Ini kerana racun dan baja kimia tidak digunakan di sektor tersebut. Apabila racun kimia tidak digunakan maka merumput secara manual menjadi amalan yang wajib. Apabila baja kimia tidak digunakan pula, maka penggunaan baja organik perlu ditingkatkan kerana kandungan nutrien dalam baja organik adalah jauh lebih rendah daripada baja kimia. Sebagai contoh, hanya 1 – 3 tan baja kimia dengan kandungan 12% N diperlukan untuk keluasan satu hektar berbanding 20 – 60 tan/hektar baja organik dengan kandungan 12% N. Dengan kata lain, aplikasi baja yang lebih banyak tentu memerlukan tenaga kerja yang lebih tinggi.

Lagipun, ladang organik menggalakkan petani membuat kompos sendiri kerana itu adalah amalan mesra alam yang sejajar dengan prinsip pertanian organik. Kesemua perkara ini menyatakan penggunaan tenaga kerja adalah lebih tinggi dalam pengusahaan pertanian organik. Oleh yang demikian, pengusaha yang ingin menceburi sektor ini hendaklah mempunyai sumber tenaga kerja yang mencukupi.

Pengelakan penggunaan racun kimia selanjutnya akan meningkatkan kadar serangan serangga perosak terhadap sayuran organik di ladang. Keadaan ini perlu ditangani dengan pembalutan sayuran jenis buah ataupun menerapkan konsep kawalan secara biologi iaitu penggunaan mikrob bermanfaat untuk memerangi musuh sayuran berbentuk serangga ataupun kulat. Proses ini berkehendakkan tenaga kerja yang lebih banyak berbanding kaedah semburan racun perosak atau kulat yang amnya digunakan di bidang penanaman sayuran biasa.

 

Bahan rujukan :

Wan Abdullah Wan Yusoff dan Illani Zuraihah Ibrahim, Penanaman Sayuran Secara Organik Di Malaysia, Mardi, 2015.

 

Hantar blog ini kepada :