Mangga (Mangifera indica) adalah buah-buahan tropika yang telah bersejarah selama 4,000 tahun. Tempat berasalnya merangkumi Indo-China, Malaysia dan India dengan pendapat yang tidak sekata. Namun begitu, dalam masa 4,000 tahun, tanaman ini telah tersebar luas ke merata tempat di dunia.
Kini, tanaman ini diusahakan sekurang-kurangnya oleh 87 negara dengan pengeluaran jumlah hasil buah sebanyak 25 juta tan (tahun 2000). Dalam kuantiti ini, sebanyak 76.9% adalah dihasilkan oleh negara-negara benua Asia manakala Amerika menghasilkan 13.8% dan yang baki 9% oleh benua Afrika.
Menurut statistik FAO tahun 2001, India merupakan pengeksport mangga utama di dunia dengan menghasilkan 50% daripada jumlah hasil sedunia, diikuti oleh Negara China pada 15% dan Thailand pada 6.5%.
Mangga justeru itu merupakan buah- buahan yang didagangkan di pasaran antarabangsa serta mempunyai permintaan yang tinggi kerana isinya yang sedap untuk dimakan segar di samping boleh digunakan untuk dijadikan pelbagai produk hiliran. Di Malaysia, buah mangga digemari oleh setiap lapisan masyarakat dan menunjukkan permintaan domestik yang tinggi.
Klon Mangga
Mangga adalah spesis yang penting dalam genus Mangifera yang tergolong dalam famili Anacardiaceae. Famili ini mempunyai sebanyak 60 genus yang mana 16 genus daripadanya terdapat di Semenanjung Malaysia. Genus Mangifera merupakan yang terpenting di dalamnya.
Dalam genus Mangifera ini, tidak kurang daripada 15 spesis terdapat di Semenanjung Malaysia. Beberapa spesis mangifera yang sering ditanami termasuklah mangga (Mangifera indica L.), bacang (M. foetida), binjai (M. caesia), lanjut (M. Lagenifera), sepam (M. longipetiolata), kuini (M. odorata), rawa (M. microphylla), mempelam bemban (M. pentandra) dan asam kumbang (M. quadrifida).
Setekat ini, lebih 100 klon mangga telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian sejak tahun 1930-an. Namun begitu, hanya segelintir klon mangga didapati mempunyai mutu lebih tinggi untuk ditanam secara komersial. Klon-klon ini amnya memberi hasil yang lebih tinggi daripada mangga kampung seperti mangga telur, mangga air dan sebagainya.
Harumanis (MA 128)
Klon ini adalah popular di Negeri Kedah dan Perlis. Ia merupakan baka dari Indonesia dan mempunyai sistem dahan dan ranting yang panjang serta melentur. Inilah identiti yang unik pada tanaman ini selain mempunyai hasil dan mutu buah yang tinggi.
Harumanis di bawah penjagaan yang rapi akan mula mengeluarkan buah semasa 4 – 5 tahun lepas ditanam. Pokok berumur 5 tahun boleh mengeluarkan sebanyak 60 – 70 biji buah semusim. Hasil buah akan meningkat apabila umur dan saiz pokok semakin meningkat. Kulit buah berwarna hijau tua dan sedikit kekuningan di bahagian pangkal apabila masak. Isi buah yang masak berwarna kuning atau jingga serta manis, halus, harum dan banyak air. Saiz buah harumanis adalah di antara 350 – 550g/biji.
 Â
Masmuda (MA 204)
Buah Masmuda juga dikenali sebagai “melele” dan mempunyai puting yang jelas di tangkai buah. Buahnya bersaiz 400 – 500g/biji dan berbentuk bulat membujur. Ia adalah baka tempatan yang berhasil tinggi dengan kemampuan mengeluarkan sebanyak 80 – 100 biji buah/pokok/musim di peringkat umur 5 tahun lepas tanam. Hasil buah akan bertambah mengikut umur dan saiz pokok. Pokok Masmuda adalah tegak dan bersudur bulat.
Isi buah Masmuda adalah manis, berwarna kuning dan halus serta berbiji kecil dan nipis. Tahap keharuman buah adalah sederhana. Sama seperti mangga Harumanis, ia sesuai dimakan segar atau diproses. Bahkan, ia boleh diambil segar semasa buah belum matang lagi kerana isi tidak begitu masam serta berasa lemak. Taburan tanaman ini adalah meluas di Semenanjung Malaysia Malaysia Utara khususnya Kedah.
Nam Dorkmai (MA 223)
Klon dari Thailand ini walaupun mempunyai pokok yang kecil, namun ia cepat berbuah, iaitu buah akan dihasilkan 2 – 3 tahun selepas ditanam. Oleh kerana saiz pokok adalah kecil, maka ia boleh ditanam dengan rapat. Apabila berumur 4 tahun lepas ditanam, sepohon pokok boleh mengeluarkan 20 – 30 biji buah dalam semusim. Pokoknya kerdil dengan cabang tumbuh menegak serta dengan sudur yang bulat.
Bentuk buah Nam Dorkmai adalah lonjong dengan hujungnya meruncing. Saiz buah di sekitar 350 – 450g/biji. Buahnya berkulit nipis dan ketika masak menunjukkan warna hijau kekuningan. Isinya pula adalah halus dan sederhana tebal serta berwarna kuning keemasan semasa masak. Selain itu, isi juga adalah manis serta berair manakala bijinya adalah leper dan kecil.
Siam Panjang (MA 205)
Mangga Siam Panjang ini juga berasal dari Thailand dan merupakan jenis mangga yang lazim diusahakan di Negeri Kedah dan Perlis. Seperti klon mangga yang lain, isinya berwarna kuning berair, halus dan sederhana tebal. Semasa masak, isi adalah manis serta harum. Bentuk buah Siam Panjang adalah canggih kerana panjang dan hujungnya bulat melengkong.
4 – 5 tahun selepas ditanam, ia mula berbuah dan memberi hasil 50 – 70 biji dalam semusim menjelang umur 5 tahun. Saiz buah adalah sederhana sahaja, iaitu 300 – 450g/biji.
Â
Laris (MA 154)
Klon tempatan ini mampu memberi hasil 60 – 80 biji/pokok/musim pada peringkat umur 5 tahun walaupun ia akan mula berbuah di peringkat 3 – 4 tahun lepas tanam. Mangga Laris banyak di tanam di Malaysia Utara khususnya Perlis dan Kedah.
Buah Laris juga berbentuk memanjang tetapi bahagian hujungnya menirus dan melengkong sedikit. Semasa masak, buahnya berwarna kuning pucat, manis, halus, sederhana tebal, harum dan berair sedikit. Kulit buah. adalah sederhana tebal dan berat buah di lingkungan 350 – 400g/biji.
Nang Klarngwun (MA 125)
Mangga yang berasal dari Thailand ini tidak serupa dengan klon-klon tersebut sebelum ini yang mana pembungaannya memerlukan kemarau yang panjang untuk mengaruhinya. Jika ia ditanam di kawasan yang tidak mempunyai musim kemarau yang ketara, maka pengaruhan bunga secara kimia adalah diperlukan.
Aspek saiz buah dan tekstur isi buah lebih kurang sama dengan mangga Laris melainkan lebih besar sedikit dan kulitnya berkilat sedikit. Pembuahan pokok Nang Klarngwun bermula di peringkat umur 3 – 4 tahun lepas tanam dan hasil buah mencapai 50 – 60 biji/pokok/musim menjelang tahun ke-5 lepas tanam.
 Â
Golek (MA 162)
Buah mangga Golek adalah baka dari Indonesia. Buahnya besar, iaitu di sekitar 500 – 600g/biji. Selepas 6 tahun ditanam, penghasilan buah mencapai 60 – 70 biji di bawah penjagaan yang baik walaupun ia mula berbuah di peringkat umur 4 – 5 tahun lepas tanam.
Klon ini sensitif terhadap penyakit bintik berpusar dan penyakit bintik hitam bakteria. Buah Goleh adalah bulat memanjang dan tumpul di bahagian hujungnya. Semasa mentah, buah berwarna hijau muda dengan adanya bintik-bintik putih kecil di bahagian kulit. Ciri ini memudahkannya dibezakan daripada klon mangga lain. Semasa masak, buah berkulit licin dan berlilin serta berwarna hijau kekuningan, manakala isi pula berwarna jingga, halus tebal dan pejal serta manis membawa keharuman yang sederhana.
Sala
Mangga Sala adalah klon tempatan yang berhasil tinggi melebihi 100 biji/pokok/musim. Pokok mangga Sala tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan taburannya lebih bertumpu di Perak, Kedah dan Perlis.
Buah mangga Sala ini bersaiz di antara 450 – 600g/biji serta berbentuk panjang menirus di hujung. Kulit buah adalah hijau tua semasa belum matang dan kemudian semakin cerah dan kekuningan menjelang menjelang kematangan. Isinya menunjukkan warna kuning semasa masak tetapi tidak begitu manis.
Maha 65 (MA 165)
Mangga Maha adalah klon tempatan yang sudah mula berbuah di peringkat umur 3 – 3.5 tahun selepas ditanam. Semasa berumur 5 tahun di ladang, sepohon pokok boleh mengeluarkan 50 – 60 biji buah dalam semusim.
Pokok mangga Maha mempunyai dahan dan ranting yang tumbuh lebih tegak dan struktur pokok berbentuk piramid bulat. Buah yang dihasilkan berbentuk bulat dan leper dan semasa masak, kulit menjadi warna hijau kekuningan. Isinya adalah tebal harum,manis dan berwarna kuning pucat. Buahnya mungkin merekah semasa masak dan kerosakan ini mungkin setinggi 30% dan merupakan kelemahannya.
Chokanan (MA 224)
Klon dari Thailand ini menunjukkan potensi yang baik untuk diusahakan kerana keupayaan berbuah di peringkat umur 6 bulan sahaja selepas ditanam. Pembuahannya juga adalah tinggi walaupun dalam musim hujan. Klon ini tidak bermusim dan pokok mampu memberi hasil buah sebanyak 60 – 80 biji/musim.
Saiz pokok mangga Chokanan adalah sederhana besar tetapi menghasilkan buah yang kecil di sekitar 250 – 350g/biji. Kulit buah menjadi warna kuning semasa masak. Isi pula berwarna kuning jingga apabila buah sudah masak dan sangat harum seta manis. Namun begitu, isi buah adalah berserabut sedikit.
Mangga Epal (Rumani) (MA 194)
Buah mangga ini bersaiz kecil hingga sederhana besar serta berbentuk bulat seperti epal. Kulit buah berwarna kuning kehijauan dan kadang- kadang merah sedikit serta lembut. Isi buah adalah sedap kerana manis, halus, tebal dan tidak berserabut langsung serta menampilkan warna oren kemerahan. Bagi merasa buah yang manis, ia perlu dipetik masak dari pokok.
Mangga epal ini tidak begitu bermusim dan boleh ditanam di merata tempat dalam negara. la merupakan jenis mangga yang sesuai ditanam di laman rumah kerana cepat dan selalu berbuah.
MA 131
Buah mangga ini mulai dikenali di Kedah dan diberi nama Mangga Haji Dollah dan telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian pada tahun 1971. Ia juga dikenali dengan nama Mangga Nangka Udang dan Nangka Betik di Perak. Buahnya besar sehingga 11 inci panjang dan 5 inci lebar dan sebiji boleh mencapai 2kg beratnya. Bentuk buah adalah panjang dan membulat sedikit di hujung. Apabila masak, kulit buah menjadi warna kuning kehijauan. Isinya walaupun tebal dan halus serta berwarna kuning kemerahan, tetapi berasa masam manis dan beraroma sedikit.
Kajian Klon Mangga
Klon mangga yang sedia ada walaupun menunjukkan potensi komersial ter tentu yangmenggalakkan, namun ada di antaranya masih memaparkan kelemahan tertentu dari segi morfologi pokok, saiz dan warna buah yang kurang menarik malah kerentanan terhadap sesetengah penyakit buah-buahan.
Penyelidikan bagi membiakbakakan varieti yang lebih bermutu sebenarnya telah dijalankan oleh negara-negara pengeluar masing- masing. Umpamanya, India dan Brazil menggunakan kaedah pendebungaan tangan, Austrailia, Afrika Selatan dan Israel menggunakan kacukan terkawal, telah menghasilkan varieti baru seperti “Amarapali”, “Mallika”, “Neelphonso”, “Neeleshan”, Neeleshwari”, “Naomi”, “Lily” dan “Joa”. Varieiti-varieti yang dihasilkan ini akan menambahkan daya saing industri tanaman mangga di negara masing-masing.
Penyelidikan Klon Mangga Oleh MARDI
Di Bukit Tangga, MARDI mempunyai 200 kemasukan gerplasm mangga yang terdiri daripada klon tempatan dan klon dari negara-negara lain seperti Thailand, India, Indonesia, Amerika Syarikat, Australia, Filipina dan Mali. Kesemua klon ini ditanam dalam kawasan seluas 2 hektar yang mana pokok-pokok ini kini telah berusia lebih daripada 10 tahun.
Klon-klon ini menunjukkan sifat dan ciri masing-masing. Ada yang istimewa dari segi warna kulit dan isi yang canggih, seperti haden”, Kensington”, “Irwin” “Kent” dan “Strawberry” yang mempunyai kulit merah; ada yang unik disebabkan kekatekan pokok seperti “Julie” dan “Tetenene”; ada yang menunjukkan pembungaan dan hasil yang tinggi seperti ” Sala” serta ciri-ciri lain pada klon-klon berlainan. Penerapan ciri-ciri yang unik melalui pembiakbakaan akan menghasilkan varieti tempatan yang bermutu.
Bagi varieiti “Tangkai Panjang”, “Apple Rumania”, Red Apple”, “Appel Tanjung Karang”, Malgoa”, “Bachang” dan Kuini” didapati mengandungi kalsium yang tinggi dalam isi, justeru kuini telah dinilai untuk dijadikan pokok penanti kepada baka sedia ada supaya menghasilkan varieti yang tinggi kandungan kalsium dengan salah satu tujuannya merintangi IFR (insidious fruit rot) yang dipercayai disebabkan oleh tahap kalsium yang rendah dalam isi buah.
Melalui program penambahbaikan, Klon-klon sedia ada yang lebih bermutu telah dihasilkan seperti klon “Chokanan” yang mana ia disyorkan untuk ditanam secara komersial sebagai buah dimakan segar atau diproses. Klon ini digemari ekoran hasil yang tinggi (>15 tan/ha), rupa luaran buah yang menarik serta pengendalian lepas tuai yang lebih mudah.
Harumanis dan Nam Dorkmai walaupun mempunyai nilai pasaran, namun kerentanan yang tinggi terhadap IFR, kulit kurang menarik dan sebagainya menjadikannya mungkin akan diganti oleh klon lain dalam senarai rekomendasi penanaman. Nam Dorkmai pula didapati walaupun mengeluarkan bunga dengan banyak, tetapi gagal menjadi buah di samping rentan sangat terhadap penyakit antraknos dan kerosakan oleh serangga thrip.
Melalui penyelidikan ke atas mangga Sala, varieti “Sala Gold” telah dibangunkan. Varieti ini mempunyai saiz buah yang lebih sesuai iaitu di antara 400 – 600g/biji, kulit tebal dan menukar ke warna emas semasa masak serta isi kurang berserabut dan juga kurang berair. Daya rintangan terhadap antraknos adalah lebih baik dan kejadian IFR adalah lebih rendah pada “Sala Gold” jika dibandingkan dengan mangga Sala lain yang dikaji serentak.
Beberapa varieti baru juga dibangunkan melalui pendebungaan terbuka. Usaha ini telah menghasilkan varieti-varieti yang menarik dan unggul seperti progeni “NDM 001”, progeni “TG 009”, progeni “MM 002” dan progeni “NDM 031” yang masing-masing disebati dengan ciri-ciri seperti warna kulit yang canggih, saiz buah yang sederhana, set buah yang tinggi, isi yang halus, daya rintangan penyakit yang lebih tinggi dan sebagainya. Varieti-varieti ini dipercayai akan dimasukkan ke dalam senarai rekomendasi penanaman sekiranya terbukti dapat mendatangkan pulangan yang lebih baik kepada petani dalam negara.
Sumber Maklumat :
1. Tengku Ab. Malik Tengku Maamun dan rakan-rakan (penyunting), Panduan Penanaman Mangga, MARDI, 1996.
2. Nor Hazlina Mat Sa’at dan rakan-rakan, “Mango (mangifera indica”, Breeding Horticultural Crops @MARDI, penyunting Chan Ying Kwok dan rakan-rakan, MARDI, 2008.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com