You are currently viewing Hasil Pertanian Lebih Tinggi Di Bawah Struktur Berjaring dan Pelindung Hujan

Hasil Pertanian Lebih Tinggi Di Bawah Struktur Berjaring dan Pelindung Hujan

Tanaman sayuran dan buah-buahan yang ditanam di kawasan terbuka mudah diserangi serangga perosak. Racun kimia terpaksa digunakan untuk menyelamatkannya daripada kerugian hasil yang tinggi. Selain itu, kualiti hasil pertanian juga merosot akibat ancaman tersebut serta pengaruh faktor agro-iklim. Bagi memperbaiki keadaan ini, sistem pengeluaran yang lebih berkesan telah digunakan termasuk struktur berjaring dan pelindung hujan.

Struktur Berjaring

Struktur berjaring diselubungi dengan jaring sepenuhnya, iaitu pada keempat-empat dinding setinggi 2-3m dan juga bumbungnya. Jaring ini diperbuat daripada bahan polyethylene atau poly-proplylene 16-24 mesh, rintang UV dan boleh tahan beberapa tahun lamanya.

Sistem seumpama ini sebenarnya sudah digunakan oleh para petani sejak dahulu lagi dan bukan sesuatu yang baru. Namun, bagi pencebur baru ke bidang ini, sistem pengeluaran struktur berjaring wujud sebagai alternatif untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih tinggi dengan kualiti hasil yang lebih bermutu jika dibandingkan dengan sistem pengeluaran kawasan terbuka. Di bawah ini disyorkan hasil kajian berkenaan yang telah dijalankan oleh MARDI.

Menurut kajian, tanaman belimbing yang diusahakan di bawah srtruktur berjaring memberi hasil buah sebanyak 23 tan/ha/tuaian berbanding dengan sistem terbuka yang hanya memberi hasil 13 tan/ha/tuaian. Malahan, buah belimbing yang dihasilkan adalah lebih canggih dari segi warna kulit serta lebih pejal. Rasa buah tentu juga lebih menyelerakan.

Bagi rujukan pantas, jadual 1 berikut menyenaraikan perbandingan hasil sayuran yang dapat diperolehi antara sistem struktur berjaring dan sistem penanaman di kawasan terbuka.

Struktur Pelindung Hujan

Selain struktur berjaring, sistem pengeluaran pelindung hujan juga dibangunkan oleh MARDI untuk mengkaji pengeluaran sayuran iklim sederhana dan tropika di tanah rendah. Struktur ini terdiri daripada bumbung plastik dan struktur penyokong utama diperbuat daripada bahan logam galvanized atau kayu. Keempat-empat dindingnya pula menggunakan jaring kalis serangga.

Bagi sistem terbuka yang hanya terdiri daripada bumbung plastik tanpa dinding berjaring, ia lebih sesuai untuk sayuran buah seperti cili dan tomato manakala sistem tertutup (berbunbung plastik dan berdinding jaring) lebih sesuai untuk sayuran daun seperti kubis, sawi, kailan dan cauliflower. Beberapa jenis sayuran iklim sederhana seperti tomato, lettuce, brokoli, kubis, cauliflower, bell pepper, bawang, celery dan sebagainya juga sesuai di tanam dalam struktur pelindung hujan di tanah rendah.


Dalam struktur pelindung hujan, tanaman boleh diusahakan secara bertanah atau tidak bertanah. Dengan sistem bertanah, maka batas perlu dibuat kemudian ditanam dengan biji benih atau anak benih serta dibajai dengan baja butiran atau secara fetigasi.

Sistem penanaman tidak bertanah pada amnya menggunakan kaedah hidroponik atau polibeg yang berisi media pertumbuhan seperti cocopeat atau cocopeat + sekam padi bakar dengan baja dibekali melalui sistem fertigasi. Pada kebiasaan, sistem hidroponik digunakan untuk penanaman sayuran daun walaunpun kadang-kadang juga digunakan untuk penanaman sayuran buah. Sayuran buah seperti cili, tomato dan timun amnya menggunakan sistem berpolibeg.

Sistem pengeluaran pelindung hujan banyak kelebihannya, termasuk melindungi tanaman daripada kerosakan fizikal dan fisiologi akibat hujan lebat atau radiasi solar yang tinggi. Di samping itu, serangan serangga perosak juga dapat diminimumkan dan selanjutnya mewujudkan hasil pertanian yang lebih tinggi dan berkualiti. Penggunaan racun serangga justeru itu dapat diminimumkan.

Penyakit sayuran yang disebarkan oleh hujan mampu dielakkan dengan adanya pelindung hujan. Di bawah sistem ini, racun kulat tidak diperlukan atau hanya diperlukan pada kadar yang minimum sekali. Di bawah sistem pelindung hujan, tanaman lebih bebas daripada pencemaran racun kimia yang mana sisa racun padanya mampu mengancam kesihatan badan pengguna.

Hasil tanaman tanah rendah yang diperolehi dengan menggunakan sistem pelindung hujan berbanding sistem terbuka (tanpa pelindung hujan dan juga tanpa dinding berjaring) adalah disenaraikan di jadual 2. Dari jadual itu, dapat diketahui bahawa hasil tanaman meningkat pada kadar yang tinggi dengan menggunakan sistem pelindung hujan. Umpamanya, tanaman kubis memberi hasil sebanyak 30 t/ha berbanding 16 t/ha dalams istem terbuka manakala tomato mewujudkan hasil 80 t/ha dibandingkan dengan 35 t/ha sahaja di bawah sistem terbuka.

Penambahan hasil ini di samping membolehkan petani mendapat balik modal yang dilaburkan ke atas pembinaan struktur penanaman, ia juga menambah kecekapan penamanan serta mendatangkan pulangan lebih lumayan pada jangka panjang.

 

Sumber Maklumat :

Masri Muhamad dan rakan-rakan, “Towards Achieving Healthy Fruits And Vegetable Produce”, National Horticulture Conference 2003, MARDI, 2003.

 

 

Hantar blog ini kepada :