Penyakit Ganoderma (penyakit reput pangkal batang) wujud sebagai ancaman signifikan di sektor penanaman kelapa sawit di Malaysia dengan anggaran 3.02% daripada jumlah keluasan 4.69 (2009) melibatkan 53% estet telah dijangkitinya.
Dari segi impak ekonomi, hasil buah tandan segar pokok jangkitan akan berkurangan sebanyak 10% setahun sebelum pengesanan penyakit, kemudian menjadi 30% semasa pengesanan, selanjutnya berkurangan sehingga 50% selepas pengesanan penyakit. Kadar jangkitan setinggi 67.3% yang berlaku pada pokok berumur 15 tahun didapati mendatangkan kerugian hasil sebanyak 46%.
Pada tahun 80-an, penyakit ini hanya terjadi pada pokok berumur 10-15 tahun. Pada tahun 90-an pula, kejadian penyakit dilaporkan telah berlaku ke atas pokok- pokok sawit lebih muda sehingga sebanyak 30% pokok berusia 1-2 tahun di kawasan tanam semula tersebut telah mati akibat jangkitan.
Banyak Spesis Ganoderma
Walaupun 322 spesis Ganoderma telah dikesan di seluruh dunia setakat ini, namun hanya 4 spesis sahaja yang dikenal pasti mengakibatkan penyakit Ganoderma di Malaysia. Keempat-empat spesis ini ialah G. boninense, G. zonatum, G. miniatocinctum dan G. tornatum. 3 spesis pertama itu adalah patogenik manakala spesis keempat iaitu G. Tornatum adalah tidak patogenik. Di antara keempat-empat spesis ini, G. boninsense dan G. zonatum juga penyebab penyakit reput batang atasan (upper stem rot) dalam negara.
Cara Penyebaran Ganoderma
Adalah dipercayai umum bahawa Ganoderma merebak dari tisu jangkitan yang berada di dalam tanah kepada akar sihat pokok kelapa sawit. Memandangkan insiden jangkitan lebih tinggi di ladang sawit generasi ke-3 jika dibandingkan dengan generasi ke-2, maka saiz inokulum Ganoderma dan nutrien dalam tanah dianggap sebagai faktor berkaitan yang penting. Dengan kata lain, jumlah kulat Ganoderma yang semakin meningkat di kawasan penanaman sawit lama serta tahap nutrien dalam tanah yang semakin merosot mungkin menjadi komponen penyumbang kepada kadar jangkitan yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, kajian yang dijalankan di Pusat Penyelidikan Bah Lias telah menunjukkan bahawa sekiranya tunggul pokok tua dibiarkan di dalam tanah akan menyebabkan kejadian penyakit ini sehingga setinggi 25% dalam masa 6 tahun selepas pokok ditanamkan.
Selain itu, dari jasad Ganoderma atau basidiomata dengan yang dipungut menunjukkan sumber inokulum tidak semestinya datang dari kawasan yang sama, ia mengimpikasikan sentuhan akar dalam tanah mungkin bukan cara tunggal penyebaran penyakit Ganoderma.
Basidiomata yang disebutkan ini mengandungi spora yang mana pertumbuhannya adalah pesat. Mengikut laporan, sebanyak 2 bilion spora dihasilkan dalam masa 24 jam dan spora ini mungkin berkaitan berkaitan dengan rebakan penyakit ini. Namun begitu, kajian yang telah menggunakan spora ini terus pada anak semaian tidak pula menunjukkan sebarang kejadian jangkitan.
Sehubungan itu, ulat seperti Episcapha 4-maculata didapati memakan basidiomata Ganoderma dan didapati 40% daripadanya membawa spora basidiomata yang mungkin berpotensi menyebarkan penyakit ini.
Memandangkan kejadian pada amnya adalah lebih serius di kawasan tanam semula, maka kawalan awal adalah penting supaya dapat memanjangkan hayat produktif pokok sakit dan melambatkan rebakan penyakit ini di ladang. Setakat ini, terdapat 9 cara kawalan yang terbukti membawa kesan positif untuk mengawal penyakit ini dan ia diturunkan seperti berikut :
1. Sanitasi
Sanitasi merujuk kepada pembersihan ladang sawit khususnya semasa penyediaan tanah untuk tanam semula. Sudah diyakini sebelum ini bahawa segala sisa tumbuhan termasuk tunggul, akar dan batang pokok yang telah dijangkiti Ganoderma adalah punca penghidapan penyakit ini di ladang sawit. Maka itu, usaha menyingkir sisa-sisa ini dari ladang tanam semula sangat penting bagi mengurangkan kejadian jangkitan. Begitu juga dengan usaha mengalih dan menghapuskan pokok sakit dari ladang secara sistematik juga langkah yang perlu diambil dalam pengurusan penyakit ini.
Menurut Khairudin (1990), sebanyak 93% anak sawit akan dijangkiti oleh penyakit Ganoderma dalam masa 1 1/2 tahun sekiranya perkara ini tidak diperhatikan. Dari kajiannya, ladang tanam semula yang dibersihkan diikuti dengan pembarisan biojisim di ladang hanya membangkitkan kejadian 14% sahaja, kemudian meningkat kepada 17.5% pada tahun ke-15 selepas ditanam. Manakala kaedah tanam bawahan mengakibatkan kejadian jangkitan setinggi 33%.
Pemerhatian di Sabah ke atas tanaman sawit ditanam semula melebihi 14 tahun menunjukkan bahawa kaedah pembersihan ladang dapat menangguh dan mengurangkan kadar jangkitan penyakit Ganoderma termasuk menggunakan cara menggali keluar tunggul pokok sakit mengikut ukuran 2m x 2m x 1m dan lubang galian tersebut dikambus dengan tanah sekeliling yang bersih atau bebas kulat Ganoderma. Penanaman sawit secara tanam bawahan justeru itu tidak digalakkan bagi mengelakkan serangan penyakit ini.
Idris dan rakan-rakan (2005) melalui kajiannya mengesyorkan bahawa jangkitan Ganoderma pada pokok sawit muda boleh dicegah dengan berkesan sekiranya tunggul dan akar pokok sakit diggali keluar mengikut ukuran 2m x 2m x 1.5m atau lebih. Kesan tersebut adalah ditunjukkan di jadual 1.
Kaedah sanitasi juga memaparkan kesan yang baik di Sawit Kinabalu Plantations. Umpamanya, Estet Pitas yang seluas 340.73 hektar mempunyai pokok jangkitan Ganoderma sebanyak 8,142 pokok sebelum tanam semula dijalankan telah menunjukkan pokok jangkitan berkurangan kepada 565 pokok selepas menggunakan kaedah sanitasi dan galian lubang mengikut saiz 2 x 2 x 1.5m dalam program tanam semulanya.
Di Estet Kimanis pula, sebanyak 161 pokok didapati terjangkit dengan penyakit reput batang atasan (upper stem rot) dalam kawasan seluas 298 hektar pada tahun 2006. Dengan menggunakan kaedah sanitasi, tiada lagi kejadian jangkitan Ganoderma dilaporkan di kawasan tanam semula tersebut.
Begitu juga di Estet Luboh seluas 388 hektar yang mana sebelum penanaman semula pada tahun 2005, sebanyak 2,221 pokok dijangkiti penyakit reput pangkal batang dan 931 pokok dijangkiti penyakit reput batang atasan. Dengan menggunakan kaedah sanitasi, hanya 3 pokok sahaja yang dijangkiti penyakit reput pangkal batang manakala tiada kejadian langsung bagi penyakit reput batang atasan selepas tanam semula dijalankan.
Dari hasil pemerhatian ini, maka diyakini bahawa kaedah sanitasi adalah teknik yang berkesan untuk mengurangkan kejadian jangkitan penyakit Ganoderma di ladang tanam semula. Di Malaysia, program tanam semula pada kebiasaan dijalankan dengan menumbangkan semua pokok tua kemudian biojisimnya diracik menjadi serpihan kecil.
Di kawasan yang sedia wujud kejadian penyakit ini, maka adalah perlu untuk menggali kesemua tunggul dan akar pokok sedalam dan selebar 2m x 2m x 1.5m dan tanah untuk tanam semula kemudian dibajak. Anak pokok selepas itu ditanam pada lubang penanaman baru, bukan di lubang tanaman lama yang mungkin masih ada mengandungi kulat Ganoderma.
Â
2. Pembedahan Pokok
Bagi pokok sawit yang telah dijangkiti penyakit Ganoderma, bahagian jangkitan sama ada yang berada di atas atau di bawah tanah, boleh dibedah dan dihapuskan. Kaedah rawatan ini menunjukkan kesan yang positif. Selepas membedah dan menyingkirkan bahagian tersebut, permukaan pokok yang dipotong itu disapu dengan campuran coaltar dan racun kulat (seperti Thiram). Penggunaan kaedah ini sudah menunjukkan hampir 90% pokok dibedah itu telah bebas daripada penyakit Ganoderma buat 1 – 3 tahun berikutnya (sila lihat jadual 2). Bagi meningkatkan kadar kejayaan, adalah baik sekiranya gejala jangkitan dapat dikesan lebih awal dengan menjalankan pengesanan dalam masa 2 – 3 bulan/kali.
3. Kaedah Timbun Tanah (Soil Mounding)
Dengan menimbun tanah pada bahagian pangkal pokok sakit, hayat pokok tersebut dapat dipanjangkan. Kaedah ini boleh dijalankan sama ada sebagai cara tunggal atau dikombinasikan dengan kaedah lain seperti pembedahan pokok, penggunaan racun kimia atau cara lain yang disyorkan. Lim dan rakan-rakan (1993) menyatakan bahawa hasil tanaman telah meningkat sebanyak 46% dengan menggunakan cara menimbun tanah bersama pembedahan bahagian jangkitan pokok.
George dan rakan-rakan (2000) selanjutnya melaporkan kejadian penumbangan pokok telah berkurangan sebanyak 50% dalam tempoh 4 tahun selepas pokok sakit ditimbun dengan tanah di bahagian pangkal pokok. Dari kajian Ho dan Khairudin (1996), kaedah menimbun tanah di pangkal pokok sakit sesungguhnya berpotensi untuk memperbaiki produktiviti dan melanjutkan hayat ekonomi pokok sawit yang berumur di antara 10 – 15 tahun (sila lihat jadual 3).
Jadual 3 menunjukkan bahawa pokok sakit yang tidak dirawat hanya memberi hasil buah tandan segar sebanyak 291.9kg sahaja. Selepas dirawat dengan cara menimbun tanah, hasil tersebut meningkat kepada 388kg/pokok, iaitu peningkatan sebanyak 33%. Rawatan menimbun tanah bersama dengan pengasapan (fumigation) malah meningkatkan hasil sebanyak 39% iaitu kepada 405.4kg/pokok jika dibandingkan dengan hasil pokok tidak dirawati langsung.
Sehubungan itu, saiz timbunan tanah itu juga penting kerana didapati saiz yang lebih besar mendatangkan hasil buah tandan segar yang lebih tinggi daripada saiz timbunan tanah yang kecil. Kajian di Sabah telah menunjukkan bahawa timbunan tanah sebesar 0.5m x 0.3m hanya memberi hasil sebanyak 268.84kg/pokok manakala saiz pada 2m x 1m memberi hasil 307.84kg/pokok. Sebagai perbandingan, pokok yang tidak dirawat dalam kajian ini hanya memberi hasil 200.20kg/pokok.
Menururt kajian tersebut, timbunan tanah bersaiz 2m x 1m ditambah dengan 1 kg Mycorrhiza selanjutnya meningkatkan hasil kepada 377.00kg/pokok. Mycorrhiza adalah sejenis fungi. Kewibawaannya dalam aspek ini serta fungi dan bakteria bermanfaat lain yang menunjukkan kesan kawalan terhadap penyakit Ganoderma beserta kaedah kawalan lain akan dibentangkan pada Isu akan datang (Isu 21).
Sumber Maklumat :
Hoong Hak Wan and Idris, A S, “Control and Management of Ganoderma Disease of Oil Palm in Malaysia”, Proceedings of the Second International Seminar Oil Palm Diseases-Advances in Ganoderma Research and Management, Indonesian Oil Palm Research Institute, 2010.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com